Sunday, November 4, 2007

CABARAN PSIKOLOGI MASYARAKAT MUSLIM MALAYSIA: PERSPEKTIF SAUDARA BARU ( MUALLAF ). OLEH NUR A'THIROH MASYAA'IL TAN AI PAO

1.0 Pengenalan

Saudara kita atau lebih dikenali sebagai ' mualaf ' merupakan sebahagian daripada masyarakat Muslim di Malaysia. Seseorang yang yang bertukar pegangan agama dan kepercayaan kepada agama Islam, maka akan ditaklifkan ke atas dirinya segala hukum syarak.

Di Malaysia, tidak semua masyarakat Melayu adalah Muslim. Ini berpunca daripada kes murtad, ajaran sesat dan lain-lain. Lantaran itu, wujud permasalahan dalam mendefinisikan Melayu. Masyarakat merujuk Kamus Dewan ( 2002: 865 ), kumpulan manusia yang hidup bersama di suatu tempat dengan aturan dan cara tertentu ( pergaulan hidup ). Masyarakat Muslim bererti sekumpulan manusia yang hidup di suatu tempat dengan mengamalkan kehidupan mereka mencirikan Islam sehingga menzahirkan ketinggian darjat mereka sebagai seorang Muslim.

Dalam masyarakat Cina khususnya, ketokohan pelayar Islam unggul dan Muslim sejati iaitu Cheng Ho tidak dapat dinafikan lagi. Dalam Berita Harian bertarikh 24 Oktober 2005, ruangan Agama ( Ilmuan Islam ) menjelaskan Laksamana Cheng Ho berjaya menakluki dunia melalui tujuh ekspedisi pelayaran ke Lautan Hindi dan Lautan Pasifik Barat dari benua Asia hingga ke Afrika. Dalam ekspedisi itu, beliau berlabuh di 30 negara. Kejayaan tokoh Islam ini membuktikan negara China mempunyai kemahiran yang tinggi dalam bidang teknologi perkapalan dan pelayaran. Pelayar kurun ke-15 Dinasti Ming ini dijadikan sida-sida putera Zhu Di pada umur 13 tahun. Beliau adalah sida-sida pertama memegang jawatan laksamana di China. Cheng Ho turut melakar sejarah peradaban China apabila menjadi pegawai tertinggi tentera pertama beragama Islam. Sejarah mencatatkan, beliau adalah pemimpin unggul mengetuai armada lebih 100 kapal bersama 27,000 orang ke lautan Barat mendahului Vasco da Gama dan Christopher Columbus menemui laluan ke Laut Timur. Walaupun armada Cheng Ho paling kuat di dunia, tetapi tidak pernah menjajah satu negara pun. Jelasnya, Laksamana Cheng Ho memartabatkan maruah China di pentas dunia. Kisah Cheng Ho adalah perjuangan mencari kesempurnaan hidup menerusi ajaran Islam. Perjuangan menyempurnakan kecacatan hidupnya yang terpaksa menghambakan diri kepada maharaja. Walaupun beliau tidak berpeluang mengembangkan zuriat, namun Cheng Ho, tidak berputus asa dengan suratan hidupnya kerana berpegang kuat kepada ajaran Islam. Cita-cita agungnya untuk menunaikan ibadah haji sebagai menyempurnakan kehidupan beragamanya. Cheng Ho adalah contoh Muslim sejati dan lambang kesetiaan sejagat.

Masyarakat Non Muslim di Malaysia khususnya masyarakat Cina Non Muslim memaklumi akan kisah ketokohan Laksama Cheng Ho yang beragama Islam. Tanpa sama sekali menafikan kehebatan tokoh dari negara China ini. Malahan semangat dan aura Cheng Ho juga diserapkan dalam kehidupan mereka. Namun yang demikian, masyarakat Cina Non Muslim tidak terkecuali daripada memberikan beberapa persepsi atau anggapan terhadap saudara baru Cina, sama ada daripada segi pengamalan agama, muamalat dan hubungan kekeluargaan setelah memilih ajaran Islam sebagai pegangan hidup.

Pelbagai faktor-faktor menyebabkan saudara kita memilih Islam sebagai pegangan hidup. Namun yang demikian, mereka juga tidak terlepas daripada menghadapi beberapa cabaran-cabaran hidup yang perlu diharungi. Oleh yang demikian, kertas kerja ini cuba untuk menjelaskan cabaran-cabaran psikologi yang dihadapi oleh saudara kita dalam pemantapan keimanan mereka, pembinaan akhlak mulia dan seterusnya dapat mengikuti syariat yang telah Allah SWT tetapkan.


2.0 Senario Saudara Kita Masa Kini

Senario berhubung dengan saudara kita sering dibicarakan pada akhir-akhir ini. Kesedaran masyarakat mengenai beberapa perkara seperti kepentingan Saudara kita dalam dakwah Islamiah, permasalahan saudara kita dan pembangunan saudara kita dalam segala aspek kehidupan telah memberi satu impak membawa kepada usaha pembangunan saudara kita perlu digiatkan. Dengan harapan agar saudara kita juga setanding dengan masyarakat Muslim lain.

Pelbagai isu seperti persoalan faktor memeluk Islam, pertikaian niat suci saudara kita memilih Islam sebagai anutan menjadikan saudara kita yang masih di peringkat awal mengucapkan kalimah syahadah begitu keliru dan kecewa dengan situasi sedemikian. Tambahan pula, setelah memeluk Islam saudara kita yang seharusnya diberikan perhatian dan bimbingan agama Islam demi untuk mengukuhkan pegangan akidahnya sering diabaikan oleh segelintir masyarakat Muslim. Saudara Kita dikatakan menyusahkan masyarakat kerana sering naik turun pejabat zakat untuk mendapatkan bantuan zakat asnaf mualaf yang sewajarnya menjadi haknya. Isu perebutan jenazah, cabaran undang-undang bagi saudara kita bawah umur 18 tahun, kehilangan perkerjaan setelah memeluk Islam, kehilangan hak tuntutan harta pusaka dan penyingkiran oleh keluaga kandung serta sikap monopoli keluarga angkat telah memberi tekanan yang hebat kepada saudara kita itu sendiri. Layanan yang tidak berhikmah oleh masyarakat benar-benar mengusik hati kecil saudara kita dan ada sebahagian mereka memilih untuk kembali kepada agama asal. Fenomena ini perlu diberi perhatian oleh semua masyarakat Muslim dalam membimbing dan memberi contoh teladan yang baik kepada saudara kita. Dengan usaha terkini iaitu Universiti Kebangsaan Malaysia melalui UKM Pakarunding sedang menjalankan kaji selidik bagi membangunkan kurikulum bimbingan untuk saudara kita di Wilayah Persekutuan. Di mana penyelidikan tersebut akan bermula dari Ogos 2007 hingga Februari 2008 merupakan satu dimensi baru kepada saudara kita untuk mengikuti satu kurikulum yang mempunyai modul khas, penyelarasan silibus yang lebih sistematik sesuai dengan tahap pemahaman Islam di kalangan saudara kita.

Namun yang demikian, saudara kita juga berperanan dalam kehidupan sosial masyarakat. Akhir-akhir ini, saudara kita sama ada berbangsa Cina Muslim, India Muslim, Orang Asli Muslim, Kadazan Muslim, Iban Muslim dan Siam Muslim mempunyai kesedaran akan kepentingan mereka dalam dakwah Islamiah. Kepentingan saudara kita dalam berdakwah berdasarkan kebolehan berbahasa, pemahaman dalam adat dan budaya bangsa, berpengetahuan dalam pendekatan yang sesuai untuk berdakwah kepada kaum mereka sendiri dan juga mengetahui pantang larang dalam kehidupan. Oleh itu, saudara kita dan juga pendakwah-pendakwah perlu berganding bahu dalam memastikan usaha dakwah Islamiah dapat dilaksanakan dengan sistematik dan tercapai matlamat dakwah itu sendiri.

3.0 Definisi dan Konsep Psikologi

Psikologi merujuk Kamus Dewan ( 2002: 1060 ), memberi tiga pengertian. Pertama, psikologi ialah kajian tentang proses mental dan pemikiran, terutamanya berhubung dengan perlakuan manusia dan haiwan. Keduanya, ia bermakna pola pemikiran dan perlakuan seseorang atau sesuatu kumpulan tertentu dan pasikologi dalam makna yang lain iaitu kebijaksanaan memahami sifat manusia.

Mahmood Nazar Mohamed ( 2005: 4 ) dalam buku karangannya yang bertajuk Pengantar Psikologi – Satu Pengenalan Asas kepada Jiwa dan Tingkah Laku Manusia, psikologi bermaksud kajian jiwa, mental dan rohani manusia. Ia berasal daripada gabungan dua perkataan Greek Psyche ( Psiko ) yang bermakna jiwa, rohani atau mental. Manakala logos ( logi ) membawa maksud kajian. Siti Hawa Munji dan Ma'rof Redzuan ( 1990: 3 ) pula memberikan definisi yang agak berbeza dengan definisi daripada Mahmood Nazar Mohamed, iaitu Psyche ( Psiko ) hanya bermaksud jiwa atau semangat dan logos ( logi ) bererti pengajian. Psikologi pada pandangan mereka adalah sains ilmiah yang perlukan pelbagai kemahiran, pengalaman dan pengetahuan kajian tentang tingkah laku dan proses mental. Psikologi bertujuan untuk memahami tingkah laku manusia dan seterusnya dapat diaplikasikan untuk penyelesaian permaslahan manusia.

Psikologi bermaksud kajian tingkah laku dan proses-proses mental di atas juga dipersetujui oleh penulis Asmawati Desa ( 2001: 1 ). Tingkah laku yang dimaksudkan oleh ahli-ahli psikologi adalah segala aktiviti yang dilakukan oleh manusia atau haiwan yang dapat diperhatikan dan diukur. Manakala proses-proses mental pula merujuk kepada fenomena seperti pemikiran, perasaan dan ingatan.

Oleh yang demikian, dapat disimpulkan bahawa psikologi ialah kajian mengenai jiwa, tingkah laku dan mental manusia. Maka didapati psikologi bukan sahaja berkenaan dengan sesuatu yang berlaku dalam minda seseorang manusia, tetapi ia juga mempunyai hubungan antara tingkah laku dan proses-proses mental yang berlaku dalam diri seseorang individu yang memerlukan kajian yang terperinci dalam usaha membantu merungkaikan permasalahan yang dihadapi.
3.1 Pembahagian Psikologi

Psikologi dapat dibahagikan kepada tiga bahagian, menurut Mahmood Nazar Mohamed ( 2005: 4-5 ). Pertama, psikologi adalah satu kajian saintifik. Di mana kajian-kajian dalam displin psikologi menggunakan kaedah penyelidikan saintifik seperti kajiselidik, peninjauan, korelasi, pemerhatian dan kes kajian. Kesemua metodologi ini mempunyai ciri-ciri tertentu dan menggunakan prosedur-prosedur yang spesifik ( kaedah eksperimen, kaedah pemerhatian, kaedah peninjauan, kaedah penilaian, kaedah kajian kes sejarah, kaedah korelasi dan kaedah fenomenologikal ). Kedua, psikologi adalah kajian mengenai tingkah laku manusia. Tingkah laku manusia sesuatu yang boleh dilihat dan ia adalah perbuatan lampau ( overt behaviour ) seperti berjalan, makan, memandu, menyepak memukul dan lain-lain perbuatan manusia. Ketiga, pakar-pakar psikologi juga menjalankan kajian-kajian ke atas proses-proses mental manusia. Yang mana ia lebih dikenali sebagai tingkah laku terselindung ( covert behaviour ). Ia merupakan tingkah laku yang tidak dapat dilihat seperti bayangan, perasaan, mimpi, fantasia, khayalan dan sebagainya.

Pembahagian psikologi meliputi kajian saintifik yang menggunakan metodologi kaedah penyelidikan yang bersesuaian untuk mengkaji tingkah laku lampau yang dapat diukur dan juga dilihat. Selain daripada itu, psikologi juga mengkaji proses-proses mental manusia yang melibat tingkah laku terselindung. Yang mana ianya tidak dapat dilihat dengan mata dan tidak dapat diukur.


4.0 Definisi dan Konsep Saudara Kita

Saudara kita atau mualaf merupakan istilah yang biasa disebut dalam masyarakat. Pelbagai takrifan dan pengertian dikemukakan dalam kamus-kamus, ulamak semasa dan sebagainya. Dalam membincangkan konsep saudara baru, faktor-faktor pengislaman saudara baru, cabaran-cabaran yang dihadapi saudara kita, kepentingan bimbingan kepada saudara kita, dan lainnya merupakan elemen yang penting untuk mengenali saudara kita dan persekitaran mereka. Anuar Puteh ( 1999: 1 ) dalam tesis beliau yang bertajuk Program Kefahaman Islam Saudara Baru Cina di Kuala Lumpur menyatakan bahawa dalam konteks masyarakat di Malaysia, saudara baru yang terdiri daripada Cina, India atau masyarakat lain sering dirujuk dan diistilahkan sebagai ' mualaf ' oleh masyarakat Islam amnya dan khasnya masyarakat Melayu.


4.1 Definisi Saudara Kita

Perkatan mualaf atau saudara kita disebut sekali dalam al-Quran al-Karim di dalam surah al-Taubah ayat 60: Firman Allah SWT:

Maksud: " Sesungguhnya sedekah-sedekah ( zakat ) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang mualaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk ( dibelanjakan pada ) jalan Allah SWT, dan orang-orang musafir ( yang keputusan ) dalam perjalanan. ( Ketetapan hukum yang demikian itu ialah ) sebagai satu ketetapan ( yang datangnya ) daripada Allah SWT. Dan ( ingatlah ) Allah SWT amat mengetahui lagi amat bijaksanan " ( al-Taubah 9: 60 ).

Jelaslah dalam ayat 60, surah al-Taubah ini memberi kepastian bahawa terdapat lapan asnaf yang berhak untuk mendapat zakat. Selain daripada golongan fakir, golongan miskin, amil-amil yang mengurus zakat, golongan yang memerdekakan hamba, golongan yang berhutang, golongan fisabilillah, orang-orang yang bermusafir dan terputusnya bekalan yang berhak ke atas peruntukan zakat, golongan mualaf atau saudara kita juga mempunyai bahagiannya dalam pemberian zakat.
Dalam mendefinisikan saudara kita atau mualaf ini, dapat dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu definisi daripada sudut bahasa, definisi semasa dan definisi daripada ulamak.


4.1.1 Definisi Bahasa

Menurut Kamus Dewan ( 2002: 900 ) perkataan mualaf bermaksud orang-orang yang baru memeluk Islam atau saudara baru. Manakala dalam Lisan al-cArab karangan Ibn. Manzur ( t.th,1: 180 ), perkataan mualaf berasal dari al-lafa bereti menghimpunkan sesuatu dengan sesuatu atau menyatukan sesuatu dengan sesuatu.

Kamus al-Mawrid ( 1988: 940 ), و المؤلفة قلوبهم bermaksud mereka yang mana hatinya telah didamaikan. Dalam perbandingan ini, Ensiklopedia Islam ( 2005: 48-49 ) memberi penjelasan bahawa mualaf ialah orang yang diambil perhatiannya agar masuk Islam atau memperkuatkan keislamannya disebut mualaf. Kata mualaf hanya disebut satu kali dalam al-Quran surah al-Taubah ayat 60. Iaitu mualafatu qulubuhum ( orang yang dijinakkan hatinya ). Secara popularnya dalam masyarakat umum, istilah mualaf biasanya difahami sebagai ' orang yang baru masuk Islam atau orang yang memiliki pengetahuan minima tentang Islam '. Dalam membahaskan mualaf ulamak fiqh selalu mengaitkannya dengan pembahasan mengenai zakat. Bahkan dapat dikatakan bahawa pembahasan mualaf dalam feqah merupakan sub bahasan dalam bab zakat.

Merujuk Kamus Istilah Fiqh ( 1997: 221 ), mualaf ialah mereka yang dipujuk hatinya atau yang baru memeluk Islam dan iman mereka masih lemah. Mereka tergolong dalam lapan asnaf yang berhak menerima zakat.

Dalam Mazhab Syafie, terdapat empat golongan mualaf, iaitu; Orang yang baru memeluk Islam dan imannya masih lemah. Keduanya, orang Islam berpengaruh yang diharapkan dapat menarik kaumnya memeluk Islam. Ketiganya, orang Islam yang berpengaruh terhadap orang kafir. Dengan pengaruh tersebut, kaum Muslimin dapat terhindar dari kejahatan orang kafir. Dan yang keempatnya, orang yang menolak kejahatan orang anti zakat ( M. Abdul Mujieb, Mabruri Tholhah & Syaficah Am 1997: 221).

Manakala merujuk Kamus Dwibahasa ( 1997: 265 ), Muslim Convert bermaksud seseorang menukar agama asalnya kepada agama Islam. Mualaf yang diertikan a person who changes beliefs, opinion or party merujuk Oxford Dictionary ( 1990: 252 ).

Oleh itu, maksud mualaf daripada sudut bahasa mempunyai persamaan makna iaitu saudara baru atau saudara kita.


4.1.2 Definisi Semasa

Dalam konteks masyarakat majmuk di Malaysia, saudara baru Cina, saudara baru India atau lain-lain masyarakat dirujuk dan diistilahkan sebagai ' mualaf ' oleh masyarakat Islam amnya dan masyarakat Melayu khasnya ( Anuar Puteh 1999: 1 ). Anuar Puteh ( 2005: 30 ) juga menulis dalam buku Masa Depan Saudara Baru – Harapan, Realiti dan Cabaran, saudara baru merupakan mereka yang telah melafazkan kalimah syahadah dan golongan Muslim yang wajar diberi bimbingan dan perhatian oleh golongan yang lebih berkelayakan.

Manakala takrif lain yang lebih jelas memberi pengertian saudara kita sebagai orang-orang yang dipujuk dan dijinakkan iaitu orang orang yang dipujuk dan dijinakkan hatinya dengan harapan dapat menguatkan pegangan mereka terhadap Islam atau orang-orang yang dipujuk supaya tertarik untuk memeluk Islam ( Amran Kasimin 1985: 1 ). Sebagai bandingan definisi yang dinyatakan oleh Haji Dusuki bin Haji Ahmad ( 1980: 219 ), mualaf adalah orang yang baru memeluk agama Islam. Imannya belum teguh dan mereka berhak menerima sebahagian tertentu daripada harta zakat.

Ahmad Redzuwan Mohd Yunus dan Nur Kareelawati Abd Karim ( 2005: 10 ), mentakrifkan saudara kita adalah kalangan manusia yang baru memeluk agama Islam dan berhak mendapat zakat dan pemberian tersebut bertujuan untuk melunakkan hati dan menguatkan keislaman mereka.

Saudara kita diertikan juga sebagai segolongan manusia yang kufur dan memeluk Islam dengan melafazkan dua kalimah syahadah. Pemberian zakat kepada asnaf mualaf adalah wajib bertujuan untuk memotivasikan serta menguatkan pegangan aqidah Islamiyah yang baru dianuti ( Nur A'thiroh Masyaa'il Tan @ Tan Ai Pao 2005: 78 ).

Daripada pengertian di atas dapat disimpulkan saudara kita adalah mereka yang dijinakkan hati mereka untuk menerima Islam dan telah melafazkan dua kalimah syahadah. Pemberian zakat adalah bertujuan untuk memotivsikan dan memantapkan lagi keislamannya serta beramal dengan ajaran Islam.


4.1.3 Definisi Ulamak

Ulamak semasa yang tersohor, al-Syacrawi dan al-Qardhawi ( 2001: 149 ) mentakrifkan mualaf adalah mereka yang kita jinakkan hati mereka dan galakkan mereka untuk menerima Islam atau sebagai tempat pertolongan bagi Muslimin. Mereka terbahagi kepada dua golongan iaitu, muslim dan kafir. Mualaf Muslim ialah mereka yang telah memeluk Islam dan niatnya masih lemah, pemberian zakat untuk menguatkan iman mereka ataupun mereka yang telah memeluk Islam dan niatnya telah kuat terhadap Islam dan mulia di sisi kaumnya maka tidak perlu diberi zakat. Manakala mualaf kafir ialah mereka yang membantu Muslimin untuk memberhentikan kerosakkan oleh kaum kafir dan diberikan zakat. Mualaf adalah salah satu daripada lapan asnaf yang berhak menerima zakat.

Dari sudut istilah pula, perkataan mualaf merujuk kepada perkataan wal-mualafatu qulubuhum ( والمؤلفة قلوبهم ) yang termaktub di dalam ayat 60 surah al-Taubah. Sayyid Qutb ( 1985 ), pula telah mentafsirkan saudara kita sebagai golongan manusia yang kembali kepada Islam serta kekal dan beramal baik keislamannya. Dengan pemberian zakat merupakan satu inisiatif yang dapat menyatukan hati mereka,mengukuhkan serta menambahkan rasa cintaya terhadap Islam.

Menurut Muhammad Rasyid Rida ulamak semasa Mesir, mualaf adalah sekelompok orang yang hatinya hendak ditaklukkan agar mempunyai kecenderungan atau ketetapan terhadap Islam, atau agar munculnya bahaya daripada orang tersebut terhadap kaum Muslimin dapat dicegah, atau daripada orang tersebut diharapkan manfaat dalam mempertahankan dan menolong kaum Muslim daripada musuh. Tidak ada kaitannya dengan hubungan perniagaan dan industri atau sejenisnya. Pengertian ini selain menjelaskan tujuan pemberian zakat terhadap mualaf, juga menegaskan bahawa kelompok mualaf tidak sahaja harus terdiri daripada orang Islam, namun juga meliputi orang non Muslim.

Ada enam kelompok yang masuk dalam kategori mualaf, menurut Rasyid Rida. Dua daripada golongan non Muslim dan empat daripada golongan Muslim: Mualaf Islam ialah; (1) Kelompok umat dan pemimpin Islam yang mempunyai lawan ( nuzara' ) non Muslim. Pemberian zakat terhadap golongan ini diharapkan akan membuatkan mereka memeluk Islam. (2) Pemimpin Islam yang ditaati, namun masih lemah imannya. Dengan pemberian zakat terhadap kelompok ini diharapkan akan meneguhkan dan menguatkan imannya dan mendorongnya untuk berbuat jihad dan kebaikan lainnya. (3) Orang Islam yang menjaga benteng dan perbatasan negeri Islam dengan musuh. Zakat diberikan untuk memotivasikan mereka dalam melindungi kaum Muslim daripada serangan musuh. (4) Orang Islam yang diharapkan untuk menarik retribusi zakat daripada orang yang tdak mahu membayarnya kecuali hanya melalui kekuasaan dan pengaruh orang ini. Keberadaan orang ini diharapkan agar tidak terjadi hukuman pembunuhan terhadap orang yang tidak mahu membayar zakat, dan dengannya tercipatlah kemaslahatan dan dapat ditemukan akhaffu al-dararain. Manakala Mualaf bukan Islam ialah; (1) Orang non Muslim yang diharapkan masuk Islam dan (2) Orang Non Muslim yang dikhuatirkan akan menganggu Islam. Pemberian zakat kepadanya diharapkan dapat menghindari bahaya daripadanya atau para pengikutnya.
Al-Jaziri ( 1990: 625 ) merupakan salah seorang pengikut Imam Syafie, mendefinisikan mualaf kepada beberapa jenis, iaitu;

i) Mereka yang lemah imannya, iaitu yang baru memeluk Islam dan berhak diberi zakat.

ii) Mereka yang berpengaruh di kalangan satu-satu masyarakat. Yang mana dengan adanya mereka ini boleh menyebabkan orang lain memeluk agama Islam.

iii) Mereka yang kuat imannya. Apabila diberikan habuan zakat kepadanya menyebabkan orang lain tidak melakukan kejahatan.

iv) Mereka yang boleh menarik orang lain untuk mengeluarkan zakat.

Manakala al-Bahuti ( t.th: 278 ) menjelaskan mualaf adalah ketua-ketua kaum kafir yang diharapkan pengislamannya. Mereka diberi habuan agar tidak melakukan kezaliman atau kejahatan kepada orang Islam. Takrif ini agak berbeza dengan takrifan daripada Dr. Mustafa al-Jin dan Dr. Mustafa al-Bugha ( 2000: 321 ), yang mana mualaf bererti orang yang baru masuk Islam dengan jangkaan pemberian zakat akan menguatkan keislamannya. Ataupun mereka yang mempunyai kedudukan dan pengaruh terhadap kaumnya, dengan pemberian zakat diharapkan kepada mereka akan dapat mempengaruhi orang lain untuk memeluk Islam. Ataupun orang Islam yang berada di sempadan dengan tujuan menjaga orang Islam daripada serangan orang kafir dan penjahat. Ataupun mereka yang mengutip zakat daripada sesuatu kaum yang tidak dapat diutuskan pemungut zakat kepada mereka.

Ulamak terkenal yang telah mengarang kitab Fatah al-Qadir, al-Shaukani ( 1964: 372 ) memetik penerangan daripada Ibn Abbas yang mana mendefinisikan mualaf adalah golongan yang baru memeluk Islam. Imam al-Razi ( 1990: 89 ) dalam kitabnya Tafsir al-Kabir merujuk kepada lima belas orang lelaki elit iaitu Abu Sufian, al-Aqrac Ibn Habis, cUyainah Ibn Hashan, Hawaithib Ibn Abd al-Uzza, Sahail Ibn Amr, Harith Ibn Hisham, Sahail Ibn Amr, Abu Sanabil, Hakim Ibn Hazam, Malik Ibn cAuf, Shaffuan Ibn Umaiyyah, Abd al-Rahman Ibn Yarbuc, al-Jad Ibn Qis, Amru Ibn Mirdas, al-cala Ibn Harith yang diberi 100 ekor unta setiap orang kecuali Abd al-Rahman Yarbuc diberi 50 ekor unta dan Hakim Ibn Hazam 70 ekor unta oleh Rasulullah saw.

Dengan itu, jelaslah saudara kita adalah mereka yang dijinakkan hati mereka untuk menerima Islam dan telah melafazkan dua kalimah syahadah. Mereka merupakan golongan yang baru memeluk Islam. Pemberian zakat adalah bertujuan untuk memotivsikan dan memantapkan lagi keislamannya serta beramal dengan ajaran Islam. Manakala golongan Muslimin yang berkelayakan perlu memberi didikan dan bimbingan agama kepada mereka.


5.0 Faktor-faktor Saudara Kita Memeluk Islam


Secara umumnya, terdapat beberapa faktor utama menjadi pendorong kepada pengislaman saudara kita di Malaysia. Faktor-faktor tersebut dapat diklasifikasikan seperti berikut:


5.1 Hidayah Daripada Allah SWT

Allah SWT sahaja yang berhak untuk memberi hidayah kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Menurut Anuar bin Puteh ( 1999: 69), ini merupakan faktor utama mendorong saudara kita memilih agama Islam sebagai pegangan hidup mereka. Manakala mereka yang tidak mendapat hidayah Allah SWT maka mereka akan kekal dalam kekufuran. Bagi saudara kita yang menemui sinar Ilahi dengan cara demikian akan menimbulkan dalam hatinya kerelaan serta keikhlasan yang sepenuhnya untuk menuruti syariat Allah SWT dan sunnah Rasulullah saw tanpa dipengaruhi oleh pelbagai pengaruh dan kepentingan tertentu. Didapati bahawa saudara kita mendapat hidayah Allah SWT biasanya datang melalui beberapa keadaan. Antaranya, melalui mimpi, pembacaan buku-buku agama, akhlak Islamiyyah yang hakiki, pergaulan seharian dengan rakan-rakan yang beragama Islam. Sebahagiannya memilih untuk berada di bawah bumbung Allah SWT setelah membuat kajian-kajian dan perbandingan ke atas agama yang dianuti sebelumnya.

Kenyataan daripada pengalaman dan pemerhatian penulis jelas membuktikan bahawa faktor hidayah memainkan peranan yang penting dan amat besar kesannya sebagai penentu kepada kesungguhan serta kesediaan golongan ini untuk terus tekun berusaha mendalami, memahami, beramal, menghayati ilmu agama Islam serta beristiqamah mengamalkannya dalam segenap kehidupan. Kesyukuran yang tinggi di atas nikmat Islam dan iman yang Allah SWT kurniakan serta keinsafan yang tinggi setelah terselamat daripada kekufuran yang berkekalan juga mendorong saudara kita untuk menghayati kepentingan ilmu Allah SWT yang diibaratkan seluas lautan yang tidak bertepian. Natijah daripada itu akan melahirkan saudara baru yang cekal, tabah, dsn sabar dengan cabaran hidup selepas melafazkan dua kalimah syahadah dalam pembentukan akhlak Islamiyyah, berpaksikan syariat Allah SWT dan memelihara aqidah Islamiyyah agar tidak tergoyah walaupun diseksa seperti Bilal Bin Rabah dan lain-lainnya lagi.


5.2 Faktor Perkahwinan

Anuar Puteh ( 1999: 71 ) menjelaskan, perkahwinan juga memainkan peranan yang penting menyebabkan seseorang Non Muslim untuk menerima Islam walaupun ianya tidak dikategorikan sebagai faktor utama. Sebagai buktinya ramai di kalangan saudara baru memilih untuk berkahwinan sesama saudara kita. Dengan langkah yang demikian akan memudahkan antara satu sama lain, terutamanya soal persefahaman dalam pelbagai aspek selagi ianya tidak bercanggah dengan syariat Islam.

Namun tidak dapat dinafikan bahawa terdapat segelintir saudara kita yang memilih untuk berkahwin dengan orang Melayu ( Islam ) selepas mereka memeluk Islam ( Anuar Puteh 2002: 99 ). Ini membuktikan bahawa perkahwinan bukanlah wasilah utama penerimaan Islam di kalangan saudara kita, namun tidak dapat dinafikan ia adalah antara faktor pendorong kepada saudara kita memeluk Islam.


5.3 Faktor Ikut-ikutan

Anuar Puteh ( 2002 : 140 ) menyatakan bahawa faktor ikut-ikutan merupakan antara faktor utama yang menyebabkan ramai di kalangan saudara kita memilih untuk memeluk Islam. Dalam kedudukan latar belakang komuniti yang sama daripada segi suku kaum, pekerjaan, status diri dan lain-lain. Tambahan pula sekiranya orang berpengaruh di kalangan mereka memeluk Islam, maka kebiasaannya akan dituruti oleh beberapa orang anggota masyarakat yang lain. Contohnya, dalam sesebuah perkampungan Orang Asli sekiranya Tok Batin ( Ketua Kampung ) memeluk Islam, maka kebiasaannya ahli keluarga dan segelintir ahli masyarakat kampung tersebut akan memeluk Islam juga.

Menurut Anuar Puteh ( 2002 : 140 ) lagi, natijah daripada memeluk Islam secara ikut-ikutan ini kebiasaannya tidak menunjukkan ciri-ciri keislaman ( walaupun sedikit ) dalam amalan kehidupan harian mereka. Pemerhatian penulis mendapati bahawa meraka masih mengamalkan secara total ajaran-ajaran Islam seperti memakan daging babi, berjudi, minum arak, menyambah roh-roh nenek moyang dan orang perseorangan yang dianggap keramat kepada mereka. Selain itu, mereka juga tidak menunjukkan minat untuk mendalami agama Islam. Ini adalah kesan daripada mereka memilih Islam bukan di atas kesedaran diri tetapi hanya ikut-ikutan sahaja. Namun, penulis berkeyakinan fenomena sedemikian hanya sementara ( di awal memeluk Islam ) sahaja sekiranya pelbagai pihak berperanan dalam soal ini.


5.4 Kepentingan Tertentu

Pengalaman penulis mendapati bahawa sebahagian saudara kita memeluk Islam di atas dasar kepentingan tertentu yang disediakan sekiranya mereka memeluk Islam. Namun yang demikian, hakikat tersebut tidak dapat dibuktikan dengan tepat kerana ia adalah isu-isu subjektif dan tidak mampu ditafsirkan secara terbuka.

Di antara beberapa kepentingan tertentu yang mendorong mereka memilih Islam menurut Anuar Puteh ( 2002: 141 ) ialah:
i) Mereka beranggapan bahawa segala hak keistimewaan orang Melayu/Bumiputera mengikut Perlembangaan Persekutuan adalah layak untuk dimiliki setelah memeluk Islam. Ini kerana mereka menterjemahkan memeluk Islam bererti masuk Melayu.

ii) Terdapat ahli perniagaan yang memeluk Islam untuk memudahkan urusan perniagaan mereka dengan orang Melayu.

iii) Untuk kepentingan jaminan masa depan anak cucu.

iv) Mengambil tindakan untuk melepaskan diri daripada tindakan undang-undang setelah melakukan kes-kes jenayah atau kesalahan yang sabit dengan undang-undang negara.

Pada pandangan penulis, faktor kepentingan tertentu yang menarik perhatian saudara kita untuk memeluk Islam adalah tidak wajar diamalkan kerana sekiranya mereka berniat untuk tujuan mendapat kepentingan maka setakat itulah konsep pemahaman Islam dalam dirinya, malahan akan mengundang kebarangkalian mereka akan kembali ke agama asal sekiranya apa yang dihajati tidak kesampaian.

Manakala menurut Prof Madya Dr. Zulkiple Abd. Ghani ( 2005: 65 ), berdasarkan perakuan saudara kita, faktor-faktor konversi kepada agama Islam berlaku atas beberapa sebab, iaitu;

i) Islam memberi jaminan hidup yang lebih luas.

ii) Islam memberi penekanan yang lebih seimbang dalam aspek kejiwaan dan kebendaan.
iii) Islam mempunyai kewibawaan yang lebih.

iv) Islam menjamin keadilan sosial.

v) Doktrin ketuhanan Islam lebih mudah difahami.

vi) Islam menitikberatkan hubungan kekeluargaan, persaudaraan sesama manusia.

vii) Sifat-sifat ajaran Islam lebih rasional dan intelektual.

viii) Soal pembalasan hari akhirat boleh diterima akal.

Oleh yang demikian, didapati bahawa faktor-faktor pendorong seseorang memeluk Islam adalah pelbagai. Faktor hidayah daripada Allah SWT adalah mutlak dan selebihnya juga mendorong saudara kita untuk memilih Islam sebagai pegangan hidup. Selain itu, akhlak mulia yang ditunjukkan oleh Muslim juga menjadi antara faktor-faktor pengislaman di kalangan saudara baru. Namun yang demikian, niat yang tulus ikhlas kerana Allah SWT akan membawa saudara kita menikmati keindahan dan kemanisan berada di bawah payung Allah SWT.


6.0 Cabaran Psikologi Saudara Kita

Halangan, rintangan serta cabaran tetap akan berlaku lantaran sesuatu perubahan atau tindakan. Itulah hakikat dalam kehidupan manusia. Berat atau ringannya sesuatu cabaran untuk dihadapi adalah bergantung kepada kekuatan dalaman dan sokongan luar.

Dr. Fariza Md Sham dan Anuar bin Puteh ( 2006: 6 ) dalam kertas kerja yang bertajuk Pendekatan Psikologi Dakwah Dalam Bimbingan Saudara Baru: Pengalaman di Malaysia menyatakan saudara baru bukan sahaja menghadapi lima peringkat perkembangan psikologi seperti yang Mohamed Asin Dollah ( 1993: 218 ), malahan terdapat satu lagi tekanan yang perlu dilalui oleh saudara kita iaitu peringkat tekanan psikologi.

Cabaran-cabaran yang dihadapi oleh saudara kita ialah kesan spiritual dan tekanan psikologi sebelum memeluk Islam dan setelah memeluk Islam. Antaranya ialah tekanan spiritual untuk mencari dan memiliki kebenaran dan agama yang benar, keduanya tekanan psikolgi terkesan melalui bangkangan keluarga sebelum dan sesudah memeluk Islam, ketiganya tekanan psikologi untuk menyesuaikan diri dengan suasana baru dan seterusnya keperluan untuk menjadikan diri sebagai role-model ( Dr. Faudzinaim Hj. Badaruddin 2005: 114-116 ).


6.1 Tekanan Spiritual Penghayatan Agama

Fitrah semulajadi manusia berkehendak kepada agama. Tidak kira apa bangsa sekalipun fitrah beragama merupakan agenda utama dalam mengatur kehidupan dunia mereka. Agama Islam merupakan agama yang benar di sisi Allah SWT dan mempunyai garis panduan peraturan hidup yang lurus lagi jelas melalui sumber utama iaitu al-Quran dan al-Sunnah. Agama Islam adalah agama yang dibawa oleh para rasul. Semua rasul telah mengajak manusia ke jalan Allah SWT. Mereka telah menyampaikan risalah yang sama dan dakwah yang sama iaitu mengesakan Allah SWT ( Nur A'thiroh Masyaa'il Tan 2005: 77 ).

Dalam kajian psikologi dalam diri manusia secara semulajadi mempunyai satu motivasi yang akan mendorongnya mencari kehakikian sesuatu kebenaran sehingga ia berpuas hati dengan pencapaian tersebut. Dalam soal mencari kebenaran agama, seseorang yang Non Muslim akan membuat analisa dan melakukan penilaian terhadap kebenaran sesuatu agama yang sesuai dengan fitrah semulajadinya. Akhirnya, apabila mengenalpasti akan sesuatu agama yang memberi ketenangan jiwanya, maka ia akan meneruskan pencarian sehingga akhirnya mendapati bahawa agama Islam menepati fitrah semula jadi manusia berkehendakkan ketuhanan yang hak dan beramal dengan ajaranNya sehingga dirinya merasai ketenangan dan kebahagiaan yang mutlak. Peristiwa ini berlaku kepada penulis sendiri dan juga hasil temuramah dengan salah seorang saudara baru di Universiti Kebangsaan Malaysia iaitu saudara Izzud Deen Abdullah @ Rano.


6.2 Tekanan Psikologi Daripada Keluarga, Keluarga Angkat dan
Masyarakat

Pelbagai cabaran yang harus ditempuhi oleh semasa dan selepas memeluk agama Islam. Di antaranya mendapat tentangan yang hebat daripada keluarga kandung yang belum konversi. Sikap pemulauan ke atas diri saudara kita, kenyataan tidak mengakui anak kandung oleh bapa, tidak dibenarkan pulang ke rumah dan putusnya segala perhubungan sama ada daripada segi kekeluargaan, kewangan dan hubungan sosial yang lain, benar-benar mengganggu emosi dan seterusnya menyebabkan tekanan perasaan. Kebiasaannya saudara kita atau lebih dikenali dengan panggilan mualaf berkonversi kerana faktor untuk mendapatkan kemudahan kewangan telah meninggalkan kesan begitu mendalam kepada diri saudara kita. Segala tohmahan dan sangkaan kurang baik tersebut membuatkan saudara kita berusaha untuk membuktikan kepada masyarakat bahawa harta kekayaan dan wang serta kemewahan bukan unsur terpenting dalam kehidupan, tetapi ilmu yang membentuk peribadi dan membawa kepada ketaqwaan kepada Allah SWT lebih tinggi nilai daripada segalanya. Tidak kurang juga, segelintir masyarakat Melayu-Islam menganaktirikan saudara kita ekoran daripada membezakan bangsa dan kaum serta dianggap saudara kita menyusahkan masyarakat. Penulis juga mengalami tekanan daripada keluarga angkat. Seharusnya keluarga angkat kepada saudara kita perlu memahami keperibadian anak angkat, memahami adat resam saudara kita yang tidak bertentangan dengan ajaran Islam untuk diamalkan, memberi kebebasan kepada saudara kita untuk membuat pilihan dalam kehidupannya dan yang utama ialah mengajar ajaran Islam seperti fardhu ain dan menunjukkan contoh teladan yang baik kepada saudara kita akan memberi impak positif agar saudara kita terus maju dan bermotivasi untuk mendalami ajaran Islam, menghayatinya dan seterusnya mengaplikasikannya dalam segenap kehidupan. Sikap irihati dan hasad dengki kepada saudara kita yang berusaha memajukan kehidupan agar lebih baik daripada sebelumnya juga perlu dijauhi oleh masyarakat. Masyarakat sepatutnya memberi dorongan, sokongan, nasihat dan motivasi kepada saudara kita agar lebih maju ke hadapan. Perkara ini penting kerana saudara kita juga merupakan salah satu agen utama dan mempunyai kepentingan dalam dakwah Islamiyyah. Walaubagaimanapun, ketika cabaran-cabaran melanda, penulis hanya berkeyakinan Allah SWT sentiasa bersama ketika susah dan senang. Dalam persoalan ini, penulis yang mengalami situasi sedemikian menjadikan guru-guru sebagai tempat saya mengadu dan mencari pendekatan untuk menghadapi ujian-ujian dalam kehidupan, sahabat-sahabat karib memberi semangat dan perhatian yang tiada tolak bandingnya. Sehingga kini dan di tahap ini, penulis bersyukur kepada Allah SWT atas nikmat iman dan Islam masih bersama.


6.3 Tekanan Psikologi Penyesuaian Diri

Setelah seseorang saudara kita memeluk Islam, maka akan wujud sesuatu perubahan dalam dirinya dan sudah pasti menzahirkan perbezaan-perbezaan dalam kehidupannya. Ini bermakna sebelum dan selepas pemelukan ke agama Islam saudara kita akan menghadapi corak dan gaya kehidupan sebagai seorang Muslim. Seseorang Muslim ia ditaklifkan dengan segala-segala hukum syarak setelah selesai mengucap dua kalimah syahadah.

Pada sebahagian saudara kita yang baru memeluk Islam, kekadangnya segelintir masyarakat Melayu Muslim memberi bimbingan utama dengan mengubah cara kehidupan saudara kita. Misalnya, menyediakan pakaian baju kurung bagi saudara kita wanita, mengajar memakai kain sarong, mendidik makan dengan tangan, memakai jubah dan sebagainya. Dengan situasi sebegini jelas masyarakat tidak cuba memahami bahawa kemungkinan wujudnya sensiviti di kalangan saudara kita kerana perlu mengubah segala cara dan gaya kehidupannya selama ini yang mana perbuatan dan pemakaian tersebut tidak bertentangan dengan tuntutan agama.

Oleh yang demikian, situasi ini benar-benar mengecewakan saudara kita dan sekiranya perkara ini berterusan tidak mustahil akan wujud pertikaian di kalangan saudara kita akan keutamaan dalam memberi didikan selepas mereka memeluk Islam. Persoalan yang sering timbul adalah " kenapa keluarga angkat saya tidak mengajar cara solat, cara berwudhu dan bacaan al-Quran kepada saya? ", " kenapa perkara yang tidak sepatut diutamakan dilakukan? ". Tekanan penyesuaian kendiri saudara kita yang berterusan akan memberi kesan negatif dalam pemantapan aqidah mereka dan seterusnya kepada penghayatan dan pengamalan ajaran Islam.


6.4 Cabaran role-model

Role-model dapat difahami sebagai contoh ikutan yang baik. Dr. Faudzinaim Hj Badaruddin ( 2005: 116 ) menyatakan bahawa saudara kita perlu menyedari akan perhatian masyarakat, sama ada masyarakat Muslim dan Non Muslim ke atas setiap perbuatan dan pergerakan mereka. Oleh yang demikian, walaupun perhatian sedemikian menjadi beban kepada saudara kita, ia perlu bersedia dari segi mental dan kekuatan emosi untuk menjadi bahan pandangan masyarakat.

Menurut beliau lagi, sekiranya saudara kita memberi contoh teladan yang baik dalam masyarakat, maka ianya akan memberi impak yang positif terutamanya kepada dakwah Islamiah kepada masyarakat Non Muslim. Malahan jika sebaliknya, sikap negatif daripada saudara kita akan memberi pandangan buruk khususnya kepada masyarakat Non Muslim dan seterusnya mereka beranggapan bahawa agama Islam sama sahaja dengan agama-agama lain. Namun mereka lupa bahawa individu Islam dan ajaran Islam itu dua perkara yang tidak boleh disatukan untuk memberi tohmahan kepada Islam keseluruhannya. Perkara-perkara ini sedikit sebanyak akan memberi tekanan kepada saudara kita yang baru menyesuaikan diri dengan ajaran Islam dan dalam masa yang sama, masyarakat menuntut penonjolan sebagai role-model.


6.5 Pertikaian Niat Konversi

Cabaran-cabaran lain dapat dilihat daripada persepsi penerimaan masyarakat Islam melalui perkahwinan terutamanya masyarakat Melayu. Mereka mempertikaikan tujuan saudara kita memeluk Islam dengan mengandaikan bahawa saudara kita memeluk Islam disebabkan faktor perkahwinan. Keadaan ini membuatkan saudara kita merasa sedih dan kecewa.


6.6 Deraan Fizikal

Selain itu, tentangan yang diberikan oleh ibu bapa dan ahli keluarga saudara kita, kaum keluarga dan anggota masyarakat yang hampir dengan mereka. Misalnya, saudara kita dikurung dalam bilik dan rumah, dipukul dan sebagainya. Semua itu dilakukan oleh keluarga yang menentang konversi saudara kita. Saudara kita memerlukan bantuan dan bimbingan Muslim agar mereka menemui jalan keluar kepada penyelesaian masalah yang dihadapi. Peristiwa ini berlaku kepada Nurul Iman Syahida yang memeluk Islam pada tahun 2005.


6.7 Birokrasi

Manakala yang selebihnya ialah cabaran dilihat daripada soal bantuan yang ditawarkan kepada saudara kita daripada segi kewangan, pekerjaan dan juga tempat tinggal. Di samping itu, saudara kita mengalami kesukaran untuk mendapatkan bantuan kewangan bagi meringankan beban masalah yang mereka hadapi. Pelbagai persoalan dan beberapa peringkat pengurusan pentadbiran yang dirasakan amat rumit untuk saudara kita lalui sebelum mendapat bantuan zakat khususnya. Sikap sedemikian memberi satu persepsi yang kurang baik kepada saudara kita dan ia akan menjejaskan imej Islam itu sendiri selain daripada meninggalkan kesan kekecewaan kepada saudara kita.

Melihat kepada cabaran-cabaran dalaman serta luaran yang dihadapi oleh saudara kita maka tidak mustahillah saudara kita juga berkemungkinan besar akan mengalami tekanan daripada segi psikologi seperti kemurungan, kerisauan dan kegelisahan yang tinggi, stress dan lebih dari itu ialah hilang akal seperti yang pernah penulis temui sebelum ini.
7.0 Keperluan Bimbingan Kepada Saudara kita

Keperluan bimbingan kepada saudara kita boleh dilihat daripada segi memberi asas pengetahuan ajaran Islam. Selain itu, memberi motivasi dan semangat untuk mereka menjalani kehidupan harian sebagai Muslim dan membantu, memberi sokongan ketika saudara kita menghadapi cabaran-cabaran merupakan amal jariah yang mulia di sisi Allah SWT.

Dr. Fariza Md Sham dan Anuar bin Puteh ( 2006: 6 ) dalam kertas kerja yang bertajuk Pendekatan Psikologi Dakwah Dalam Bimbingan Saudara Baru: Pengalaman di Malaysia, menyimpulkan bahawa dalam keadaan pelbagai cabaran yang dihadapi saudara kita dan sekiranya keimanan tidak disemat dengan kukuh, ianya akan memberi kesan yang tidak baik sehingga membawa kepada pemesongan akidah dan kembali kepada cara hidup yang asal.

Lantaran daripada itu, kepentingan bimbingan terhadap saudara kita perlu diberikan perhatian yang serius. Menurut Anuar bin Puteh ( 2005: 31-32 ), dalam memfokuskan daripada sudut bimbingan, amar makruf dan nahi mungkar merupakan asas dalam memberi pendidikan terhadap masyarakat khususnya saudara kita. Ini kerana kedua-dua perkara tersebut menjadi syarat utama untuk umat Islam mencapai kesempurnaan dan keselamatan hidup. Secara umumnya, tanggungjawab untuk membimbing saudara kita adalah tertanggung kepada keseluruhan ummah. Semua pihak perlu bertanggungjawab dalam memikul amanah ini dengan penuh keikhlasan. Pihak-pihak seperti kerajaan, badan bukan kerajaan ( NGO ), masyarakat dan individu memainkan peranan dalam memastikan tidak berlaku pengabaian bimbingan terhadap saudara kita.

Matlamat bimbingan dalam konteks saudara kita dapat dirumuskan bahawa ia dilakukan untuk:

i) Membawa Islam kepada orang bukan Islam.

ii) Membimbing orang yang baru berjinak-jinak dengan Islam agar lebih mendalam dan menghayati asas-asas Islam.

iii) Bimbingan Islam membezakan kehidupan mereka sebelum memeluk Islam.

iv) Islam meletakkan diri mereka dalam kelompok orang-orang Muslim yang komited dan mampu melaksanakan segala suruhan dan ajaran agama.

v) Dalam masa yang sama menjadi seorang yang amat takut akan larangan-larangan agama serta sentiasa berhati-hati daripada melanggar syariat-syariat yang telah ditetapkan.

Oleh itu, didapati bahawa peranan bimbingan terhadap saudara kita perlu diberi perhatian. Dengan bimbingan yang baik dan dapat dicontohi oleh saudara kita khususnya akan memberi satu impak positif bukan sahaja daripada segi akhlak, syariat malahan keutuhan pegangan aqidah dapat dikukuhkan dalam jiwa saudara kita.


8.0 Kesimpulan

Saudara kita adalah mereka yang dijinakkan hati untuk menerima Islam dan telah melafazkan dua kalimah syahadah. Pemberian zakat adalah bertujuan untuk memotivsikan dan memantapkan lagi keislamannya serta beramal dengan ajaran Islam. Faktor-faktor utama saudara kita memeluk Islam ialah kerana hidayah daripada Allah SWT, faktor perkahwinan, faktor ikut-ikutan dan juga kepentingan tertentu. Di samping itu, saudara kita juga menghadapi pelbagai cabaran psikologi yang agak serius, yang mana mereka memerlukan bimbingan yang sempurna dan berhikmah agar ajaran Islam bukan sahaja difahami dan diamalkan dalam kehidupan harian, malahan mereka mampu menghayati kesucian dan keindahan ajaran Islam itu. Bimbingan dapat membantu saudara baru mengutip mutiara-mutiara amal soleh yang akhirnya menjadi contoh teladan dan menghilangkan persepsi negatif terhadap saudara baru dalam mendamba keredhaan Allah SWT.
RUJUKAN


Al- Quran.

Al-Quran dan terjemahan.

Afzalur Rahman. 1994. Indeks al-Quran. Kuala Lumpur. A.S Noordeen.

Amran Kasimin. 1985. Saudara baru Cina di Wilayah Persekutuan. Bangi: Universiti Kabangsaan Malaysia.

Anuar Bin Puteh. 1999. Program kefahaman Islam saudara baru Cina di Kuala Lumpur. Tesis. UKM.

Anuar Puteh. 2002. Pemikir membangun minda berwawasan. Kuala Lumpur: Utusan Malaysia.

Anuar Puteh. 2005. Keperluan Bimbingan Kepada Saudara Baru Dlm. Razaleigh Muhamat @ Kawangit & et al (pnyt.). Dakwah dan Kaunseling di Malaysia. Bangi: Pusat Islam UKM.

Asmawati Desa. 2001. Psikologi untuk golongan profesional. Malaysia. Mc Grill Hill.

Al-Bahuti, Manor Ibn Yunus Ibn Idris.t.th. Kasyafu al-qana can matan al-iqnaca. Al-Riyadh. Maktabah al-Nasr al-Hadithah.

Cheng Ho tokoh pelayar Islam unggul, Muslim sejati-Berlayar lebih awal daripada Columbus, Vasco da Gama, Maggelan. 2005. Berita Harian. 24 Oktober.

Dr. Fariza Md Sham & Anuar Puteh. 2006. Pendekatan psikologi dakwah dalam bimbingan sauadara baru: Pengalaman di Malaysia. Kertas kerja Seminar Serantau Pemikiran Dakwah: Peranan dan Pengalaman. Anjuran Jabatan Usuluddin, Institut Pengajian Islam Sultan Haji Omar Ali Saifuddien, Universiti Brunei Darussalam. Brunei, 19-20 September.

Dr. Mustafa al-Jin dan Dr. Mustafa al-Bugha, 2000. jil 1. al-Fiqh al-Manhaji cala Mazhahab al-Imam al-Syafie. Damsyik. Dar al-Qalam.

Dr. Rohani Baalbaki.1988. al-Mawrid. Beirut: Dar al-Ilm Lilmalayin

Ensiklopedia Islam. 2005

Faudzinaim Hj. badaruddin. 2005. Saudara Kita: Harapan, Realiti dan Cabaran. Dlm. Razaleigh Muhamat @ Kawangit & et al (pnyt.). Dakwah dan Kaunseling di Malaysia. Bangi: Pusat Islam UKM.

Haji Dusuki bin Haji Ahmad. 1980. Kamus pengetahuan Islam. Kuala Lumpur. Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia.

Ibn. Manzur. t.th. Lisan al-cArab. Beirut. Dar al-Sadir.

Izzud Deen Abdullah @ Rano. 2007. Cabaran Psikologi Masyarakat Muslim Malaysia: Perspektif Saudara Kita. Temu bual, 13 Julai.

Al-Jaziri, Abdul al-Rahman.1990. Kitab al-fiqh cala al-Mazahib al-Arbacah. Beirut. Dar al-Fikr.

Kamus Dewan. 2002. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka.

Kamus Dwibahasa. 1997. Cetak Ulang. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

M. Abdul Mujieb, Mabruri Tholhah & Syaficah Am. 1997. Kamus istilah fiqh. Batu Caves, Selangor. Advance Publication.

Mahmood Nazar Mohamed. 2005. Pengantar psikologi satu penganalan asas kepada jiwa dan tingkah laku manusia. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka.

Nur A'thiroh Masyaa'il Tan. 2005. Ku Temui SinarMu: Pengalaman Memeluk Islam. Dlm. Razaleigh Muhamat @ Kawangit & et al (pnyt.). Dakwah dan Kaunseling di Malaysia. Bangi: Pusat Islam UKM.

Oxford Dictionary. Ed. 8. 1990. New York: University Press.

Rida, Muhammad Rasyid. : t.t .Tafsir al-manar, Beirut: dar al-Fikr

Al-Razi, Imam Fakhruddin. 1990. jil 2. al-Tafsir al-kabir au mafatih al-ghaib. Beirut. Dar al-Kitab al-cAlamiah.

Sayyid Qutb. 1985. Fi zilal al-Quran. Beirut. Dar al-Syuruq.

Al-Shaukani, Muhammad Ali Ibn Muhammad . 1964. jil 2. Fatah al-qadir. Mesr. Dar al-Kitab al-cAlamiah.

Siti Hawa Munji & Macrof Redzuan. 1990. Pengantar psikologi. Petaling Jaya. Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.

Al-Syacrawi, Muhammad Mutawwali & al-Qardhawi, Yusuf. 2001. Jamic al-fatawa al-mucasharah min al-salaf al-soleh wa al-ulamac al-Mucashirin. Al-Munawwarah. Dar al-Jazirah lilthabaacah.
Zulkiple Abd. Ghani. 2006. Konversi Agama: Memahami Psikologi dan Komunikasi Berkesan Kepada Saudara Baru. Dlm. Fariza Md. Sham & et al (pnyt.). Dakwah dan Kaunseling di Malaysia. Bangi: Penerbit UKM.

No comments: