Friday, November 9, 2007

JIHAD DALAM MEMARTABATKAN BUDAYA ILMU DALAM KEHIDUPAN
1.0 PENDAHULUAN


Islam kini mendepani ancaman terbesar, umat Islam di seluruh dunia sedang dipanggang api kezaliman Yahudi, serta musuh-musuh Islam. Islam dikatakan agama pengganas, fundamentalis, ekstremis, dan bermacam lagi. Sedangkan Islam adalah agama suci yang diredhai Allah swt. Sesungguhnya, Islam menjamin kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.

Namun kini, para pendakwah, ulama’ dan mujahid Islam dicop sebagai militan. Sedangkan pengganas yang sebenar dianggap wira sejagat. Yahudi dan para juaknya semakin berani menghina Allah swt dan Rasulullah saw. Mereka juga telah merampas Baitulmaqdis, malah mahu memasuki Baitullah Al-Haram. Mereka juga menyatakan Rasulullah saw seorang penzina serta pengganas.

Umat Islam masa kini mengalami krisis moral dan mentaliti yang sangat tenat, menyebabkan kehidupan umat Islam dilanda kemelut yang berpanjangan. Justeru itu, perlulah diluruskan pemahaman terhadap Islam, agar umat Islam kembali menghayati Islam yang jelas serta benar. Yakni Islam yang bersumberkan al-Quran, al-Sunnah, Ijmak dan Qias.

Ketika ini dunia dilanda krisis yang sangat membimbangkan. Jika dibiarkan, ia akan mengancam kewujudan dan kesinambungan umat Islam. Sesungguhnya, umat Islam adalah umat yang teristimewa yang membawa misi peradaban dan kesejahteraan kepada dunia serta dilantik oleh Allah swt sebagai pemimpin dan saksi bagi umat manusia. Firman Allah swt dalam surah al-Baqarah ayat 143;

Maksudnya; “ Dan demikian pula Kami telah menjadikan kamu (umat Islam), umat yang adil (pertengahan) dan pilihan agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu”.

Menurut Dr. Yusuf al-Qardhawi dalam bukunya, Sanggahan Salah Tafsiran Islam. 2004. menyatakan antara krisis umat Islam yang amat membimbangkan ialah krisis pemikiran dan moral. Antara krisis pemikiran dan kekurangan ilmu pengetahuan ialah tanggapan buruk terhadap Islam. Akibat kemunduran umat Islam, terjadilah kebekuan fikiran, tafsiran melulu dalam bidang fiqh, keraguan dalam aqidah, mengganggap ibadah sebagai adat kebiasaan dan berlebih-lebihan dalam tasawuf.

Oleh yang demikain, kita harus bangun dan membetulkan kefahaman terhadap Islam agar umat Islam mengikuti jalan Islam yang sebenarnya. Dengan bekalan ilmu di dada, dan berfikir terlebih dahulu sebelum bertindak, kerana fikiran adalah pangkal perkerjaan yang benar, manakala ilmu pengetahuan adalah penyuluh ke arah kebenaran Allah swt. Berfirman Allah swt dalam surah al-A’laq ayat 1-2;

Maksudnya; “ Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan. Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah “.

Oleh itu, jelaslah bahawa mentradisikan budaya ilmu dalam kehidupan akan membantu kearah kegemilangan pemikiran dan tindakan rasional di kalangan umat Islam agar tidak dipersendakan Barat dan kuncu-kuncunya.












2.0 DEFINISI JIHAD, BUDAYA DAN ILMU


2.1 Definisi Jihad

Jihad dapat didefinisikan usaha yang bersungguh-sungguh untuk mencapai kebaikan yang diredhai Allah swt. Manakala makna kedua, iaitu penentangan (perlawanan) terhadap anasir-anasir yang hendak merosakkan Negara dan lain-lain (seperti jihad pada hawa nafsu, dictatok dan lain-lain).(Kamus Dewan (Edisi Ketiga). 2002: 538)

Menurut Prof. Madya Amat Johari Moain. 1987: 7 mendefinisikan perkataan jihad Arab jihadun ( ) adalah kata nama yang berasal dari kata asal jahada ( ) yang bererti berusaha keras atau bersungguh-sungguh. Dari perkataan jahada ( ) lahirlah kata nama jihad ( ). Sedangkan dari perkataan ijtihad ( ) timbullah kata nama ijtihada ( ).

Dari segi istilah syara’, jihad itu mempunyai beberapa erti, tetapi dalam erti yang luas ia bererti berjuang iaitu berjuang dalam peperangan, berjuang menentang hawa nafsu, berjuang untuk menegakkan keadilan dan kebenaran dan perjuagan pada jalan Allah swt dan meninggikan kalimah Allah swt.

Jihad juga dapat ditakrifkan “ The exerting of one’s power in repelling the enemy or the contending with a object of disapprobation” ertinya menggunakan tenaga kuasa oleh seseorang dalam melawan musuh atau dalam menentang sesuatu yang tidak disetujui atau tercela. (Maulana Muhammad Ali, (tanpa tarikh): 10)

Dr. Sa’id Ramadhan al-Buti berkata; “ Jihad ialah bersusah payah mencurahkan tenaga demi meninggikan kalimah Allah swt dan membina masyarakat Islam. Mencurahkan tenaga dengan jalan peperangan adalah sebahagian daripadanya dan matlamat utama ialah mendirikan masyarakat Islam dan membentuk Daulah Islamiyyah yang sebenar.

Kesimpulan dari definisi-definisi jihad yang dikemukakan menunjukkan dengan jelas bahawa erti jihad itu sangat luas. Selain daripada jihad kubra iaitu jihad melawan hawa nafsu dalam diri manusia. Ia juga boleh disimpulkan bahawa jihad bukan sahaja bererti berperang terhadap kafir harbi (musuh) tetapi juga segala usaha yang bersungguh-sungguh sama ada dalam bentuk perkataan dan perbuatan berserta niat yang ikhlas serta perjuangan dan pengorbanan pada jalan Allah swt demi untuk menegakkan kalimah Allah swt di atas muka bumi.


2.2 Definisi Budaya

Budaya dapat didefinisikan tamadun dan peradaban, kedua iaitu kemajuan fikiran, aqal budi iaitu cara berfikir, berkelakuan dan sebagainya. Ketiga iaitu bersifat budaya yang mengenai kebudayaan. (Kamus Dewan (Edisi Ketiga). 2002: 180)

Dari segi istilah, budaya menurut Edward Taylor, adalah keseluruhan sistem yang kompleks yang mengandungi ilmu pengetahuan, keperluan, kesenian, kesusilaan, undang-undang, adat resam, kebolehan serta kebiasaan yang diperolehi oleh manusia sebagai anggota masyarakat. (Sumber dari nota kuliah)


2.3 Definisi Ilmu

Menurut pandangan Imam al-Ghazali, ilmu mempunyai pengertian yang amat luas sukar ditakrifkan dengan tepat dan mencakupi makna-makna berikut: tentang ketuhanan, agama, dunia, alam ghaib serta hikmah.

Dari segi epistemology ilmu ditakrifkan sebagai ketibaan iaitu kemunculan sesuatu makna ke dalam jiwa seseorang hasil daripada maklumat yang benar. (Mohd Arip Kasmo & Mohamad Sabri haron & Abdul Salam Yusoff. 2003:1)

Menurut Kamus Dewan (Edisi Ketiga). 2002: 483, ilmu ditakrifkan pengetahuan, kepandaian (dalam perkara dunia, akhirat, zahir, batin dan lain-lain). Orang yang berilmu ialah orang yang mempunyai banyak ilmu, berpengetahuan. Ilmuan ialah golongan (para) akademik, orang yang berilmu dan ilmiawan.























3.0 JIHAD DALAM MEMARTABATKAN TRADISI BUDAYA ILMU DALAM
KEHIDUPAN



Berjihad dalam memartabatkan tradisi budaya ilmu dalam kehidupan merupakan satu usaha yang amat dititikberatkan. Ilmu merupakan alat yang utama dan amat berharga kepada manusia. Justeru, ilmu dapat merubah diri manusia daripada jahil kepada tahu, gelap kepada cahaya, derita kepada bahagia, batil kepada al-haq.

Perjuangan dan jihad meransang masyarakat agar menghidupkan tradisi ilmu dan budaya membaca dalam membina kemajuan agar setanding dengan bangsa-bangsa asing dan membina sikap keterbukaan dalam hidup.

Dr. Abdul Monir bin Yaacob. 1996: 23, menyatakan apabila Allah swt mengutuskan Nabi Muhammad saw, baginda juga diberi ilmu. Ilmu yang mencakupi seluruh cara hidup dan keperluan manusia di dunia dan akhirat. Islam mementingkan umatnya menguasai ilmu. Bahkan membenarkan setiap orang mencari ilmu walaupun di mana sahaja. Jelas bahawa ilmu itu perlu dicari. Ia tidak datang menggolek. Pernah pada suatu ketika seorang khalifah di zaman Abbasiyyah mahukan puteranya belajar. Jawab guru berkenaan, ilmu itu dicari bukan ditunggu dan mempunyai adabnya.

Seseorang yang berilmu bukan sahaja memiliki kebenaran malahan mempunyai keyakinan serta kesedaran terhadap tanggungjawabnya kepada diri, keluarga, masyarakat, negara dan tugas yang tertinggi sekali iaitu menjadi khalifah Allah swt Tuhan Maha Pencipta.

Abu Hurairah r.a meriwayatkan katanya; “Aku mendengar Rasulullah saw bersabda yang bermaksud:

“ Apabila anak Adam (yakni manusia) meninggal dunia maka semua amalannya terputus kecuali tiga perkara iaitu; sedekah jariah, ilmu yang memberi faedah dan anak soleh yang sering berdoa kepada kedua ibu bapa”.

Saidina Ali berkata;

“Ilmu adalah lebih utama daripada utama. Ilmu menjagamu sedangkan kau harus menjaga hartamu. Harta akan bekurangan bila kau nafkahkan. Sedangkan ilmu bertambah subur bila kau nafkahkan. Ilmu adalah hakim dan sebaliknya harta adalah sesuatu yang dihakimi”.

Menurut Dr. Muhammad Na’eem Yasin. 1985 menjelaskan, jihad merupakan keterangan dan bukti di atas keimanan yang sejati. Taraf dan darjat manusia di sisi Allah swt adalah menurut kadar jihad masing-masing dan sebanyak mana pengorbanan yang dilakukan oleh seseorang yang bergelar mujahidin.

Kepentingan berjihad dalam memartabatkan budaya ilmu mendorong indivdu untuk berjihad ke atasnya dan beristiqamah dalam memperjuangkannya. Ini akan membentuk peribadi yang bertaqwa dalam menentang hawa nafsu dan memaksa diri untuk mentaati Allah swt. Demikian juga, ilmu dan taqwa merupakan buah dari amalan jihad pada jalan Allah swt. Allah swt berfirman dalam surah al-Ankabut ayat 69;

Maksudnya; “ Dan mereka bersungguh-sungguh berjihad untuk Kami, tetap Kami akan tunjukkan jalan-jalan Kami.”







4.0 KEUTAMAAN ILMU PENGETAHUAN : BELAJAR DAN MENGAJAR


4.1 Keutamaan Ilmu Pengetahuan

Ayat-ayat al-Quran banyak sekali membuktikan keutamaan ilmu pengetahuan. Di antaranya ialah: (surah Ali-Imran ayat 18)

Maksudnya; “Allah swt telah menyaksikan bahawasanya tiada Tuhan melainkan Dia jua, begitu pula para Malaikat dan para ilmuan turut menyaksikan sama, iaitu Tuhan yang berdiri di atas keadilan.

Ayat tersebut menjelaskan bagaimana Allah swt telah memulakan penyaksian itu dengan diriNya sendiri, keduanya dengan para Malaikat dan sesudah itu dengan para ahli ilmuan. Ini membuktikan betapa tingginya keutamaan ilmu pengetahuan dan kelebihan-kelebihannya.

Dalam surah al-Zumar ayat 9, Allah sawt berfirman:

Maksudnya; “ Katakanlah: Tiada serupa orang-orang yang berilmu pengetahuan dengan orang-orang yang tiada berilmu pengetahuan.”

Dan Allah swt juga berfirman dalam surah al-Nisa’ ayat 83:

Maksudnya; “Andaikata mereka mengembalikan (berita itu) kepada Rasul dan kepada orang-orang yang memegang urusan pemerintahan di antara mereka, tentulah halnya telah dimengerti oleh orang-orang yang menelitinya dalam golongan mereka itu.”

Maka, jelaslah hukum mengenai perkara-perkara yang berlaku itu harus dikembalikan kepada kebijaksanaan orang-orang yang berilmu pengetahuan, kerana martabat mereka ditingkatkan dengan martabat para Nabi dalam menyingkap hukum-hukum Allah swt.

Hadis-hadis Rasulullah saw juga banyak menyatakan berkenaan keutamaan ilmu pengetahuuan, antaranya ialah;

“ Siapa yang dikehendaki kebaikan oleh Allah swt, maka Allah swt akan meluaskan pengetahuannya dalam hukum-hukum agama dan akan diilhamkanNya petunjuk di dalamnya.”

“ Para ulama’ itu adalah warisan para Nabi.”

Ini membuktikan tiada martabat yang lebih tinggi dari martabat kenabian, dan tiada kemuliaan yang lebih utama dari kemuliaan mewarisi martabat tersebut kecuali para ulama’ yang ada masa kini.

Bersabda Rasulullah saw dalam soal menentukan kelebihan Ilmu pengetahuan atas segala rupa bentuk ibadat dan penyaksian, sabdanya;

“ Keutamaan seorang yang berilmu pengetahuan ke atas seorang yang banyak ibadatnya, laksana keutamaanku ke atas serendah-rendah orang dari golongan sahabatku.”

Cuba perhatikan, betapa ilmu pengetahuan itu dipersamakan seiring darjat kenabian, dan betapa direndahkan martabat sesuatu amalan yang sunyi dari ilmu pengetahuan, sekalipun orang yang beribadat itu cukup mengetahui dengan ibadat yang dilakukan seharian, kerana kiranya ibadat itu ditunaikan tanpa ilmu pengetahuan, tentulah ia tidak boleh dinamakan sebagai ibadat. Rasulullah saw bersabda lagi;

“ Kelebihan seorang alim ke atas seorang ‘abid laksana kelebihan bulan purnama ke atas seluruh bintang-bintang di atas langit.”

Dan di antara wasiat Luqman al-Hakim terhadap anaknya ialah; Wahai anakk! Pergaulilah para alim ulama’ dan rapatilah mereka dengan kedua lututmu, sebab Allah swt menghidupkan hati dengan nur (cahaya) hikmat, sebagaimana Dia menghidupkan bumi dengan hujan lebat dari langit.


Keutamaan belajar

Keutamaan belajar dan mendalami ilmu pengetahuan merupakan salah satu faktor yang penting dalam usaha memartabatkan tradisi budaya ilmu. Dalam al-Quran banyak dijelaskan tentang bukti-bukti keutamaan belajar. Di antaranya ialah, Allah swt berfirman dalam surah al-Nahl ayat 43;

Maksudnya; “ Maka tanyakanlah para ahli ilmu pengetahuan, kiranya kamu tidak tahu tentang suatu perkara.”

Manakala dari hadis Rasulullah saw, sabdanya;

“Barangsiapa menempuh jalan untuk menuntut ilmu pengetahuan, maka Allah swt akan mendorong baginya jalan ke syurga.”

“Menuntut ilmu adalah fardhu ke atas setiap orang muslim.”

Imam Syafie pula menyatakan; Menuntut ilmu lebih utama dari sembahyang Jumaat.

Abu Darda’ berkata; Kiranya saya dapat mempelajari suatu masalah, itu adalah lebih saya cintai daripada saya bangun beribadat sepanjang malam. Ia berkata lagi; Orang alim dan orang yag menuntut ilmu itu, adalah dua orang yang berkongsi dalam kebaikan. Sementara orang-orang selain keduanya adalah sia-sia belaka.

Berkata Ibnu Mas’ud r.a ; Hendaklah kamu mencari ilmu pengetahuan sebelum ianya terangkat, dan tanda terangkat ilmu pengetahuan itu dengan kematian ahli-ahlinya. Seseorang kamu taida dilahirkan sebagai seorang yang sudah pandai. Jadi ilmu pengetahuan itu akan dicapai hanya dengan belajar.


Keutamaan mengajar

Apabila seseorang mempunyai ilmum maka ia wajiblah menyampaikan kepada masyarakat dengan pelbagai cara dan strategi, supaya umat Islam akan lebih berilmu pengatahuan. Oleh yang demikian, proses pengajaran atau mengajar menjadi agenda yang terpenting agar tercapai matlamat tersebut. Ini dapat dibuktikan melalui ayat-ayat al-Quran mengenai keutamaan mengajar., di antaranya;

Maksudnya; “ Hendaklah mereka memberikan peringatan kepada kaumnya, apabila telah kembali kepada mereka nanti, moga-moga mereka berhati-hati.”

Tafsiran kepada ayat ini ialah memperingatkan mereka itu dengan pelajaran dan petunjuk yang diperolehinya

Berfirman Allah swt dalam surah Ali-Imran ayat 187;

Maksudnya; Dan di waktu Tuhan mengambil janji orang-orang yang diberikan olehnya kitab; iaitu hendaklah kamu sekalian menerangkan perkara-perkara yang tersebut di dalam kitab itu, dan jangan sampai kamu menyembunyikannya.”

Ini membuktikan bahawa orang yang berilmu pengetahuan wajib menyampaikan ilmu pengetahuan yang ada di dalam dadanya kepada masyarakat.

Dalam hadis Rasulullah saw juga banyak menyatakan keutamaan mengajar. Antaranya ialah:
“ Sesiapa yang mengetahui sesuatu ilmu lalu disembunyikannnya, nescaya di hari Qiamat nanti, ia akan dikekang oleh Allah swt dengan tali kekang dari api neraka.”

“ Sesungguhnya Allah swt dan para MalaikatNya, begitu juga penghuni langit dan buminya, sehingga semut yang berada di lubangnya dan ikan yu di lautan, semuanya memohon rahmat bagi orang yang mengajarkan kebaikan kepada orang ramai.”

Begitulah kepentingan ilmu pengetahuan, keutamaan belajar dan mengajarkan ilmu memainkan peranan yang amat penting demi memastikan masyarakat kembali menghayati ilmu seterusnya membudayakan tradisi ilmu dalam kehidupan manusia.

Hakikat ilmu ialah maklumat yang ditapis atau diolah menerusi sesuatu kaedah dan paradigma yang dipegangi oleh seseorang ilmuan yang dipengaruhi oleh sesuatu system nilai dan diterima oleh sekelompok komunitinya. Manakala yang dimaksudkan dengan pengetahuan ialah maklumat yang secara relatifnya dan belum begitu diolah dengan teliti dan mendalam ke tahap ilmu. Oleh sebab itu, istilah ilmu pengetahuan dapat diterima kewujudannya. (Shaharir Bin Mohamad Zain.1997: 257)

Ilmu yang bermanfaat (pada orang Islam) ialah ilmu yang telah menerusi tapisan nilai-nilai Islam yang sekurang-kurangnya dapat mengukuhkan kebenaran Islam yang sekurang-kurangnya dapat mengukuhkan kebenaran Islam atau kekuatan Islam atau Muslim dalam segala aspek kehidupannya, dunia dan akhirat.









KESIMPULAN


Didapati bahawa semakin kuat pihak Barat (terutama pihak orientalisme, sekuralisme dan sebagainya) berusaha mengcengkam aqidah, akhlak dan syariat Islamiyyah. Tidak lain, mereka bertujuan untuk melihat kemusnahan dan kehancuran Islam dan umatnya di atas muka bumi.

Oleh yang demikian, jelaslah di sini ideologi yang berteraskan keimanan dan bersendikan prinsip (al-amal bil ma’ruf wan nahyu ani mungkar) adalah menjadi syarat yang paling utama untuk melayakkan diri sebagai pemimpin daulah Islamiah yang berkualiti.

Umat Islam tidak hanya duduk berpeluk tubuh dan hanya bergantung kepada pengalaman dan nama sahaja Islam dan tidak pula dengan jalan perwarisan atau berusaha mencapai peningkatan di bidang ilmu-ilmu pengetahuan yang pelbagai. Malahan sekiranya, orang-orang yang berilmu pengetahuan namun tidak dijadikan pakaian dalam kehidupan, maka kemusnahan, kesesatan dan kemungkaran akan berleluasa di merata dunia. Apabila mencegah kemungkaran ditinggalkan, akan tersebarlah keburukan di muka bumi dan berkembangnya maksiat dan kejahatan.

Hakikatnya, tiada penentangan langsung di antara agama dengan tamadun sebagaimana sebagaimana yang dilabelkan oleh Barat dan yang lain. Adalah menjadi tanggungjawab utama umat Islam untuk meninggikan darjat umat Islam. Semua kaedah kehidupan dunia hendaklah berjalan di atas landasan ajaran Islam yang sebenar.

Dengan kekuatan keimanan, ketaqwaan berserta dengan ilmu pengetahuan yang luas. Maka umat Islam mampu bangun untuk berjihad menentang kedurjanaan musuh Islam kerana umat Islam mempunyai aqidah yang teguh iaitu tauhid Rububiyah dan Uluhiyyah sebagai tulang belakang perjuangan. Ajaran Islam perlu disebarkan ke tengah masyarakat secara berkesan melalui nas-nas al-Quran dan al-Sunnah.
RUJUKAN


1. Al-Quran dan terjemahannya.
2. Dr. Yusuf al-Qardhawi. 2004. Sanggahan Salah Tafsiran Islam. Selangor. Synergymate Sdn. Bhd.
3. Prof. Madya Amat Johari Moain.1987. Jihad dan Pengertiannya. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka.
4. Dr. Abdul Monir bin Yaacob, penyunting Khairul. 1996. Kontemporari Islam. Kuala Lumpur. Institut Kefahaman Islam (IKIM).
5. Imam al-Ghazali. 1987. Bimbingan Mukmin 1-2. Selangor. Klang Book Centre.
6. Afzalur Rahman. 1994. Indeks al-Quran. Kuala Lumpur. A.S Noordeen.
7. Dr. Muhammad Sa’id Ramadhan al-Buti. 1983. Fiqh al-Sirah. Selangor. Dewan Pustaka Fajar.
8. Hajah Noresah bt Baharom. 2002. Kamus Dewan (Edisi Ketiga). Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka.
9. Mohd Arip Kasmo & Mohamad Sabri Haron & Abdul Salam Yusoff. 2003. Tamadun Islam dan Kenegaraan Malaysia. Selangor. Pusat Pengajian Umum, UKM.
10. Shaharir Bin Mohamad Zain. 1997. Ilmu, Ilmuan Muslim; Kenyataan, Unggulan dan Harapan (Menjana Keilmuan Islam). Bangi. Fakulti Pengajian Islam.
11. Dr. Muhammad Na’eem Yasin. 1985. Jihad-Kupasan Lengkap Mengenai Jenis-jenis Jihad, Gelanggang-gelanggang dan Selok Belok Bagi Pelaksanaannya. Kuala Terengganu. Yayasan Islam Terengganu.

No comments: