Friday, November 9, 2007

PERSEPSI MASYARAKAT CINA TERHADAP ANAK YANG MEMELUK ISLAM – SATU PENGALAMAN DAN PEMERHATIAN


PENDAHULUAN :

Fitrah semulajadi manusia berkehendak kepada ketuhanan. Tidak kira apa-apa bangsa sekalipun fitrah ketuhanan merupakan agenda utama dalam mengatur kehidupan dunia mereka. Agama Islam merupakan agama yang benar disisi Allah SWT dan mempunyai garis panduan peraturan hidup yang lurus lagi jelas melalui sumber utama iaitu al-Quran dan al-Sunnah. Agama Islam adalah agama yang dibawa oleh para rasul. Semua rasul telah mengajak manusia ke jalan Allah SWT, yakni jalan tunduk kepada Allah SWT. Mereka telah menyampaikan risalah yang sama dan dakwah yang sama iaitu mengesakan Allah SWT.

Islam dalam bahasa Arab bererti tunduk, patuh dan menyerah atau taat. Sebagai satu agama, Islam berdiri di atas dasar penyerahan diri sepenuhnya dan taat kepada Allah swt. Islam juga bererti selamat dan sejahtera. Pengertian ini menunjukkan bahawa, manusia tidak akan dapat mencapai keselamatan dan kesejahteraan yang sebenarnya, kecuali dengan jalan menyerahkan diri sepenuhnya kepada Allah SWT. Cara hidup seperti inilah, yang dapat dan tetap di bawah naungan ketaatan Allah SWT. Di mana hidup yang selalu diliputi ketenangan jiwa bagi perseorangan dan kesejahteraan serta keamanan bagi masyarakat. Allah SWT. berfirman :

الذين ءامنوا و تطمين قلوبهم بذكر الله ألا بذكر الله تطمين القلوب . الذين ءامنوا و عملوا الصالحات طوبى لهم و حسن مئاب

Maksudnya: “ Orang-orang yang beriman, yang berhati tenang dengan ingat kepada Allah SWT. Ingatlah bahawa hati akan tenang dengan mengingati Allah SWT. Orang-orang yang beriman dan beramal soleh, kebahagiaanlah untuk mereka dan tempat kembali ( Syurga ) yang baik. ” ( al-Ra’d : 28 – 29 )





PENGERTIAN SAUDARA BARU :

Menurut Kamus Dewan (1997:900) perkataan mualaf bermaksud orang-orang yang baru memeluk Islam atau Saudara Baru Manakala dalam Lisan al-‘Arab karangan Ibn. Manzur, perkataan mualaf berasal dari al-lafa bereti menghimpunkan sesuatu dengan sesuatu atau menyatukan sesuatu dengan sesuatu.

Dari sudut istilah pula,perkataan mualaf merujuk kepada perkataan wal-mualafatu qulubuhum ( والمؤلفة قلوبهم ) yang termaktub di dalam ayat 60 surah al-Taubah. Sayyid Qutb pula telah mentafsirkan mualaf sebagai golongan manusia yang kembali kepada Islam serta kekal dan beramal baik keislamannya. Dengan pemberian zakat merupakan satu inisiatif yang dapat menyatukan hati mereka,mengukuhkan serta menambahkan rasa cintaya terhadap Islam.

Manakala takrif lain yang lebih jelas memberi pengertian Saudara Baru sebagai orang-orang yang dipujuk dan dijinakkan iaitu orang orang yang dipujuk dan dijinakkan hatinya dengan harapan dapat menguatkan pegangan mereka terhadap Islam atau orang-orang yang dipujuk supaya tertarik untuk memeluk Islam ( Amran Kasimin 1985: 1 ).

Kesimpulan daripada pengertian di atas, Saudara Baru merupakan segolongan manusia yang kufur dan memeluk Islam dengan melafazkan dua kalimah syahadah. Pemberian zakat kepada asnaf mualaf adalah wajib bertujuan untuk memotivasikan serta menguatkan pegangan aqidah Islamiyah yang baru dianuti.




PENGERTIAN PERSEPSI

Mahmood Nazar Mohamed ( 1992 ), dalam konteks persepsi, kelima-lima deria ( mata, telinga, hidung, lidah dan kulit ) adalah tidak sama. Ada deria yang lebih penting dan sebaliknya. Contohnya, penglihatan melalui deria pancaidera mata adalah lebih penting. Ini adalah kerana pada kebiasaannya manusia menumpukan perhatian melalui penglihatan.


METOD KAJIAN

Kertas kerja ini cuba membentangkan mengenai Persepsi Masyarakat Cina Terhadap Anak Yang Memeluk Islam: Satu Pengalaman dan Pemerhatian cuba mengkaji beberapa faktor yang menjadi pendorong kepada penerimaan Islam dikalangan Saudara Baru ( Cina Muslim ), persepsi masyarakat Cina terhadap anak yang memeluk Islam, cabaran-cabarannya serta saranan-saranan kepada Saudara Baru.

Kaedah kajian yang dilakukan adalah melalui metod permerhatian dan pengalaman penulis itu sendiri.Kajian perpustakaan juga merupakan salah satu kaedah kajian ini dijalankan.



FAKTOR-FAKTOR PENDORONG SAUDARA BARU CINA MEMELUK ISLAM

Secara umumnya, terdapat beberapa faktor utama menjadi pendorong kepada pengislaman orang-orang Cina di Malaysia dan seterusnya menjadi Islam sebagai panduan hidup mereka. Faktor-faktor tersebut dapat diklasifikasikan seperti berikut:


Hidayah daripada Allah SWT

Allah SWT sahaja yang berhak untuk memberi hidayah kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Ini merupakan faktor utama mendorong Saudara Baru memilih agama Islam sebagai pegangan hidup mereka. Manakala mereka yang tidak mendapat hidayah Allah SWT maka mereka akan kekal dalam kekufuran. Bagi Saudara Baru yang menemui sinar Ilahi dengan demikian cara akan menimbul dalam hatinya kerelaan serta keikhlasan yang sepenuhnya untuk menuruti syariat Allah SWT dan sunnah Rasulullah saw tanpa dipengaruhi oleh pelbagai pengaruh dan kepentingan tertentu.

Didapati bahawa Saudara Baru mendapat hidayah Allah SWT biasanya datang melalui beberapa keadaan. Antaranya, melalui mimpi, pembacaan buku-buku agama, akhlak Islamiyyah yang hakiki, pergaulan seharian dengan rakan-rakan yang beragama Islam. Sebahagiannya memilih untuk berada di bawah bumbung SWT setelah membuat kajian-kajian dan perbandingan ke atas agama yang dianuti sebelumnya.

Kenyataan pengalaman dan pemerhatian jelas membuktikan bahawa faktor hidayah memainkan peranan yang penting dan amat besar kesannya sebagai penentu kepada kesungguhan serta kesediaan golongan ini untuk terus tekun berusaha mendalami, memahami, beramal, menghayati ilmu agama Islam serta beristiqamah mengamalkannya dalam segenap kehidupan. Kesyukuran yang tinggi di atas nikmat Islam dan iman yang Allah SWT kurniakan serta keinsafan yang tinggi setelah terselamat dari kekufuran yang berkekalan juga mendorong Saudara Baru untuk menghayati kepentingan ilmu Allah SWT yang diibaratkan seluas lautan yang tidak berketepian. Natijah dari itu akan melahirkan Saudara Baru yang cekal, tabah, lebih kental, bersabar dengan cabaran hidup selepas melafazkan dua kalimah syahadah dalam pembentukan akhlak Islamiyah, berpaksikan syariat Allah SWT dan yang lebih utama sudah semestinya memelihara aqidah Islamiyyah agar tidak tergoyang walaupun diseksa seperti Bilal Bin Rabah dan lain-lainnya lagi.

Faktor Perkahwinan

Perkahwinan juga memainkan peranan yang penting menyebabkan seseorang Non Muslim untuk menerima Islam walaupun ianya tidak dikategorikan sebagai faktor utama. Sebagai buktinya ramai di kalangan Saudara Baru memilih untuk berkahwinan sesama Saudara Baru. Dengan langkah yang demikian akan memudahkan antara satu sama lain, terutamanya soal persefahaman dalam pelbagai aspek selagi ianya tidak bercanggah dengan syariat Islam.

Namun tidak dapat dinafikan bahawa terdapat segelintir Saudara Baru yang memilih untuk berkahwin dengan orang Melayu ( Islam ) selepas mereka memeluk Islam ( Anuar Puteh 2002: 99 ). Ini membuktikan bahawa perkahwinan bukanlah wasilah utama penerimaan Islam di kalangan Saudara Baru, namun tidak dapat dinafikan ia adalah antara faktor pendorong kepada Saudara Baru khususnya berbangsa Cina untuk memeluk Islam.

Faktor ikut-ikutan

Anuar Puteh ( 2002 : 140 ) menyatakan bahawa faktor ikut-ikutan merupakan antara factor utama yang menyebabkan ramai dikalangan Saudara Baru memilih untuk memeluk Islam. Dalam kedudukan latar belakang komuniti yang sama dari segi suku kaum, pekerjaan, status diri dan lain-lain. Tambahan pula sekiranya orang terpengaruh dikalangan mereka memeluk Islam, maka kebiasaannya akan dituruti oleh beberapa orang anggota masyarakat yang lain. Contohnya, dalam sesebuah perkampungan Orang Asli sekiranya Tok Batin ( Ketua Kampung ) memeluk Islam, maka kebiasaannya ahli keluarga dan segelintir ahli masyarakat kampung tersebut akan memeluk Islam juga.

Menurut Anuar Puteh lagi, natijah dari memeluk Islam secara ikut-ikutan ini kebiasaannya tidak menunjukkan cirri-ciri keislaman ( walaupun sedikit ) dalam amalan kehidupan harian mereka. Pemerhatian penulis mendapati bahawa meraka masih mengamalkan secara total ajaran-ajaran Islam seperti memakan daging babi, berjudi, minum arak, menyambah roh-roh nenek moyang dan orang perseorangan yang dianggap keramat kepada mereka. Selain itu, mereka juga tidak menunjukkan minat untuk mendalami agama Islam. Ini adalah kesan daripada mereka memilih Islam bukan di atas kesedaran diri tetapi hanya ikut-ikutan sahaja. Namun, penulis berkeyakinan fenomena sedemikian hanya sementara ( di awal memeluk Islam ) sahaja sekiranya pelbagai pihak berperanan dalam soal ini.

Kepentingan tertentu

Pengalaman penulis mendapati bahawa sebahagian Saudara Baru memeluk Islam di atas dasar kepentingan tertentu yang disediakan sekiranya mereka memeluk Islam. Namun yang demikian, hakikat tersebut tidak dapat dibuktikan dengan tepat kerana ia adalah isu-isu subjektif dan tidak mampu ditafsirkan secara terbuka.
Di antara beberapa kepentingan tertentu yang mendorong mereka memilih Islam menurut Anuar Puteh ( 2002: 141 ) ialah:

i) Mereka beranggapan bahawa segala hak keistimewaan orang Melayu/Bumiputera mengikut Perlembangaan Persekutuan adalah layak untuk dimiliki setelah memeluk Islam. Ini kerana mereka menterjemahkan memeluk Islam bererti masuk Melayu.

ii) Terdapat ahli perniagaan yang memeluk Islam untuk memudahkan urusan perniagaan mereka dengan orang Melayu.

iii) Untuk kepentingan jaminan masa depan anak cucu.

iv) Mengambil tindakan untuk melepaskan diri daripada tindakan undang-undang setelah melakukan kes-kes jenayah atau kesalahan yang sabit dengan undang-undang negara.

Pada pandangan penulis, faktor kepentingan tertentu yang menarik perhatian Saudara Baru untuk memeluk Islam adalah tidak wajar diamalkan kerana sekiaranya mereka berniat untuk tujuan mendapat kepentingan maka setakat itulah konsep pemahaman Islam dalam dirinya, malahan akan mengundang kebarangkalian mereka akan kembali ke agama asal sekiranya apa yang dihajati tidak kesampaian.

Oleh yang demikian didapati bahawa faktor-faktor pendorong seseorang memeluk Islam adalah pelbagai. Faktor hidayah dari Allah SWT adalah mutlak dan selebihnya juga mendorong Saudara Baru untuk memilih Islam sebagai pegangan hidup. Namun yang demikian, niat yang tulus ikhlas kerana Allah SWT akan membawa Saudara Baru menikmati keindahan dan kemanisan berada di bawah payung Allah SWT.



PERSEPSI MASYARAKAT CINA TERHADAP ANAK YANG MEMELUK ISLAM – SATU PENGALAMAN DAN PEMERHATIAN


Negara Malaysia merupakan sebuah negara yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan membentuk masyarak majmuk yang terdiri daripada bangsa Cina, India serta bangsa-bangsa yang lain. Masyarakat Cina mempunyai persepsi ke atas anak-anak mereka yang memeluk Islam. Pengalaman penulis sendiri mendapati di antara persepsi-persepsi kedua ibu bapa yang belum memeluk terhadap anak-anaknya setelah memeluk Islam adalah seperi berikut:

i) Terputusnya hubungan kekeluargaan

Aspek kekeluargaan adalah amat dititiberatkan dalam masyarakat Cina yang berpegang kepada ajaran Konfusinisme. Hubungan erat di antara anak-anak dan kedua ibu bapa adalah akrab dan begitu juga dengan adik beradik serta sanak saudara yang lain. Dengan tindakan seseorang untuk memilih agama Islam sebagai anutannya telah memberi kesan yang mendalam pada jiwa kedua ibu bapa yang telah melahirkan mereka. Ini kerana kedua ibu bapa beranggapan bahawa sekiranya memeluk Islam seseorang Saudara Baru akan meninggalkan dan seterusnya memutuskan hubungan dengan mereka. Persepsi seperti ini menjadi fobia kepada masyarakat Cina sekiranya terdapat anak-anak mereka yang berhasrat untuk memeluk Islam dan dari sini akan wujudnya pelbagai tentangan yang hebat daripada ibu bapa malah ahli keluarga dan sanak saudara seperti memulaukan Saudara Baru tersebut, menyiksa, membunuh dan yang paling penulis tersentuh hati ialah kedua ibu bapa tidak mengaku Saudara Baru sebagai anak kandung mereka.

ii) Masuk Islam bererti masuk Melayu

Masyarakat Melayu merupakan golongan majoriti dalam masyarakat majmuk di Malaysia ini dan sebaliknya kepada masyarakat Cina. Masyarakat Cina berpandapat bahawa sekiranya anak-anak mereka memeluk Islam adalah sama konsep dengan masuk Melayu dan tidak berandaian masuk Islam. Fenomena ini berlaku kerana bangsa Melayu merupakan golongan majoriti yang beragama Islam. Di samping itu, kehidupan, akhlak, aqidah, pendidikan, perniagaan segelintir masyarakat Melayu agak tidak menyokong kepada keadaan penghapusan persepsi masyarakat Cina terhadap Saudara Baru.

Ekoran daripada itu, tanggapan sebegini telah sebati dalam pemikiran mereka dari dahulu sehingga kini. Walaupun usaha untuk memberi pemahaman dan penjelasan kepada mereka bahawa terdapat perbezaan di antara memeluk Islam dan masuk Melayu iaitu dari segi Islam sebagai agama dan Melayu sebagai bangsa. Namun usaha ini pada pengalaman dan pemerhatian penulis merupakan satu usaha yang mengambil masa yang agak lama untuk memberi kefahaman kepada mereka.

iii) Islam berkembang melalui pedang

Peperangan merupakan satu fenomena yang tidak disukai oleh semua pihak kerana kesan dari peperangan membawa manusia dan alam sekitarnya kepada kebinasaan dan kemusnahan, Oleh kerana itu, manusia amat benci akan peperangan. Sehubungan dengan itulah orang-orang bukan Islam secara tidak langsung akan membenci Islam. Kebencian ini disebabkan mereka telah mempercayai fakta yang menyatakan Islam berkembang melalui peperangan atau lebih dikenali sebagai mata pedang ( Sir Thomas Arnold 1970: 63-64 ).

Umat Islam zaman dahulu dilabelkan sebagai umat yang suka berperang dan merebut kuasa serta harta. Ini merujuk kepada kekerapan perang semasa zaman Rasulullah saw. Manakala umat Islam di seluruh dunia zaman kini dituduh sebagai pengganas. Semua fakta ini telah disalah tafsirkan oleh musuh-musuh Islam untuk memburukkan dan melemahkan semangat umat Islam sekaligus matlamat utama mereka ialah menghapuskan Islam dari muka bumi Allah SWT. Secara tidak langsung ia telah memberi kesan di dalam pemikiran masyarakat Cina khusunya dalam pemerhatian ini turut melabelkan Islam itu suka bergaduh-gaduh, berperang-perangan sekaligus meletakkan Islam itu berkembang melalui mata pedang.

Begitulah persepsi masyarakat Cina terhadap anak mereka yang memeluk Islam. Walaubagaimanapun, persepsi ini perlu dibersihkan agar ianya tidak terus kekal dalam pemikiran mereka. Dengan itu akan memudahkan usaha dakwah ke atas masyarakat Cina khususnya dan masyarakat yang lain umumnya.


CABARAN-CABARAN SAUDARA BARU

Halangan, rintangan serta cabaran tetap akan berlaku lantaran sesuatu perubahan atau tindakan. Itulah hakikat kehidupan manusia dalam kehidupan manusia. Berat atau ringannya sesuatu cabaran untuk dihadapi adalah bergantung kepada kekuatan dalaman dan sokongan luar.

Menurut Dr. Faudzinaim Hj Badaruddin ( 2005: 114 ), secara umumnya cabaran-cabaran yang dihadapi oleh Saudara Baru boleh dilihat daripada dua sudut iaitu:

Cabaran dalaman

Yang dimaksudkan dengan cabaran dalaman yang dihadapi oleh Saudara Baru ialah kesan spiritual dan tekanan psikologi sebelum memeluk Islam dan setelah memeluk Islam.

Antaranya ialah tekanan spiritual untuk mencari dan memiliki kebenaran dan agama yang benar, keduanya tekanan psikolgi terkesan melalui bangkangan keluarga sebelum dan sesudah memeluk Islam, ketiganya tekanan psikologi untuk menyesuaikan diri dengan suasana baru dan seterusnya keperluan untuk menjadikan diri sebagai Role-Model.

Pengalaman penulis juga membenarkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Dr. Faudzinaim kerana ia hampir menepati cabaran-cabaran Saudara Baru di sudut dalaman.


Cabaran Luaran

Cabaran luaran lebih menjurus kepada perkara-perkara yang muncul dari luar diri Saudara Baru itu sendiri dan sekaligus telah memberi kesan yang amat mendalam jika dibandingkan dengan kesan cabaram dalaman.

Dari segi cabaran-cabaran luaran ianya dapat dilihat dari persepsi penerimaan daripada masyarakat Islam melalui perkahwinan, keduanya tentangan yang diberikan oleh ibu bapa dan ahli keluarga Saudara Baru, dan yang selebihnya ialah cabaran dilihat dari soal bantuan yang ditawarkan kepada Saudara Baru serta akhlak segelintir umat Islam yang tidak dapat diteladani.

Melihat kepada cabaran-cabaran dalaman serta luaran yang dihadapi oleh Saudara Baru maka tidak mustahillah Saudara Baru juga berkemungkinan besar akan mengalami tekanan dari segi psikologi seperti kemurungan, kerisauan dan kegelisahan yang tinggi, stress dan lebih dari itu ialah hilang akal seperti yang pernah penulis temui sebelum ini.


SARANAN UNTUK SAUDARA BARU

Adalah jelas bahawa perubahan menyeluruh yang dilakukan oleh Suadara Baru dalam reformasi aqidah, ibadat dan akhlak Islamiyyah membuktikan suatu pengorbanan yang amat tinggi. Oleh yang demikian, persediaan yang rapi dalam soal emosi, fizikal dan mental adalah langkah positif untuk menghadapi mehnah kehidupan di dunia.

Dalam usaha kita untuk menyesuaikan diri dengan cabaran dunia dan masyarakatnya yang semakin hari semakin mencabar. Maka di sini peranan ilmu ajaran Islam adalah perlu dititikberatkan. Seringkali kita mendengar kalimah “ Berilmu ”, “ Beriman ” dan “ Beramal ”. Maka jelaslah kepada kita bahawa ketiga-tiga kalimah ini mempunyai konsepnya yang tersendiri. Dengan penggabungan ketiga-tiga konsep akan melahirkan insan yang beraqidah benar, berakhlak mulia serta berdiri di atas landasan syariat yang benar-benar dituntut dalam ajaran Islam.

Merujuk kepada kitab Bimbingan Mukmin karangan Imam al-Ghazali, memperlihatkan kepada kita mengenai keutamaan dan kepentingan ilmu pengetahuan itu sendiri. Dalam al-Quran terdapat banyak ayat yang menjelaskan tentang perkara ini. Antaranya ialah firman Allah swt :

... يرفع الله الذين ءامنوا منكم و الذين أتوا العام درجات

Maksudnya : “ …Allah swt mengangkat orang-orang yang beriman dari golongan kamu semua dan juga juga orang-orang yang dikurniai ilmu pengetahuan hingga beberapa darjat. ” ( al-Mujadalah : 11 )


شهدالله أنه لا إله إلاهو و الملايكة و أؤلوا العلم قايما بالقسط لا إله إلا هو العزيز الحكيم

Maksudnya : “ Allah swt telah menyaksikan bahawa Tiada Tuhan melainkan Dia sendiri, juga malaikat dan orang-orang yang berilmu pengetahuan menyaksikan yang sedemikian itu, bahkan Allah swt itu Maha Berdiri Sendiri dan Adil.” ( Ali-Imran : 18 )

Ayat ini menjelaskan kepada kita penyaksian dimulai dengan diri sendiri, diikuti golongan malaikat dan seterusnya golongan-golongan yang berilmu pengetahuan. Oleh yang demikian, jelaslah kedudukan ini menunjukkan kemuliaan dan keutamaan ketiga-tiga golongan tersebut.
Begitu juga dalam hadis-hadis Rasulullah saw menjelaskan tentang kedudukan ilmu, sepertimana bersabda Rasulullah saw yang mafhumnya;

طلب العلم فرض على كل مسلم

“ Menuntut ilmu adalah difardukan ke atas setiap Muslim. ”

Oleh itu, kita perlulah melengkapkan diri dengan ilmu agama Islam demi untuk merealisasikan matlamat yang kita tetapkan. Jangan berpegang kepada aqidah yang shahih ( Islam ) sahaja malah perkukuh dan mentapkanlah ia seperti berdiri teguhnya Jabal Uhud di Madinah dan cekalnya Bilal Bin Rabbah ( tukang azan zaman Rasulullah saw ), Sumaiyah ( isteri Ammar bin Yasir ), Asiah ( isteri Firaun ) dan Zinnirah dalam mempertahankan aqidah Islamiyah mereka walaupun mendapat ancaman dan rintangan yang mana lebih hebat daripada kita. Bermunajatlah dan taatilah perintah Allah swt dan turutilah sunnah Rasulullah saw, kerana agama Islam yang dibawa Baginda saw adalah agama Islam yang syumul ( yakni agama yang lengkap dan merangkumi segenap kehidupan ). Jadikanlah al-Quran dan al-Sunnah sebagai panduan penyelesaian kepada masalah kehidupan agar kita mengecapi keberkatan dan keredhaan dalam kehidupan ini.

Menuntut ilmu adalah difardhukan ke atas setiap muslim. Pelajarilah dan dalamilah ilmu, sebab dengan mempelajri ilmu akan memberikan rasa takut kepada Allah swt, menuntutnya merupakan ibadah, mengulang-ulanginya ibarat bertasbih, pembahasannya merupakan jihad, mengajarkan kepada orang lain yang belum mengetahuinya merupakan sedekah dan menyerahkannya kepada ahlinya merupakan “ pendekatan diri ” kepada Allah swt.



KESIMPULAN


Oleh yang demikian, penulis berpendapat bahawa Saudara Baru seharusnya diberi kefahaman bahawa Islam adalah al-Din iaitu cara hidup dalam konteks yang sangat luas, ianya bukan sahaja suatu kepercayaan tetapi merangkumi seluruh aspek kehidupan yang lengkap, maju, bertamadun dan progresif. Pelbagai pihak perlulah memainkan peranan yang penting untuk sama-sama membantu mengubah persepsi masyarakat Non Muslim terhadap Islam dan memberi kerjasama untuk memastikan kedudukan Saudara Baru terbela serta dapat memotivasikan pemantapan Saudara Baru dalam Islam.



Rujukan


1) Al-Quran dan terjemahannya

2) Dr. Amran Kasimin. 1985. Saudara Baru Cina di Wilayah dan
Selangor. Bangi: Universiti Kabangsaan Malaysia.

3) Anuar Puteh. 2002. Pemikir Membangun Minda Berwawasan. Kuala Lumpur: Utusan Malaysia.

4) Ann Wan Seng. 1994. Perayaan Orang Cina. Shah Alam: Penerbitan Fajar Bakti Sdn. Bhd.

5) Anuar Puteh. 2002. Saudara Baru Cina Di Malaysia: Kepentingannya Dalam Konteks Dakwah. Bangi: Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan, Fakulti Pengajian Islam, UKM.

6) Sir Thomas Arnold. 1970. al-Dakwah ila al-Islam. Qahirah: Maktabah al-Nahdah al-Misriyyah.

7) Dr. Faudzinaim Hj. Badaruddin. 2005. Saudara Kita: Harapan, realiti dan cabaran. Bangi: Pusat Islam UKM.

8) Kamus Dewan. 1997. Ed. 3. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka..

9) Sayyid Qutb. 1985. Fi zilal al-Quran. . Beirut: Darul al-Fikr.
Kertas Kerja Nur A'thiroh Masyaa'il Tan
Jab Peng Dakwah dan Kepimpinan
Fakulti Pengajian Islam
Universiti Kebangsaan Malaysia

No comments: